Malaysiakini memohon maaf atas beberapa kesilapan grafik di media sosial semalam, termasuk yang menggunakan tajuk laporan mengenai PAU pada imej yang dimaksudkan bagi laporan mengenai isu ladang babi.
Semalam, Malaysiakini secara silap menyiarkan tiga grafik di media sosial yang dimaksudkan untuk laporan berlainan, dengan teks pada grafik tersebut tidak sepadan dengan gambar yang digunakan mahupun keterangannya.
Dua daripada grafik tersebut secara salah menggunakan tajuk artikel Bahasa Melayu tentang PAU akan menjadi platform untuk Umno menentukan hala tuju.
Satu daripada hantaran media sosial menggunakan tajuk berkaitan Umno itu digunakan secara salah pada grafik gambar babi di sebuah ladang. Imej grafik itu dimaksudkan untuk laporan mengenai isu penternakan babi di Selangor, sepadan dengan keterangan mengenai penternakan babi di Tanjung Sepat yang disertakan.
Grafik kedua yang secara salah menggunakan tajuk mengenai Umno adalah untuk artikel perkongsian pengalaman pegawai Kor Perkhidmatan Islam Angkatan Tentera (Kagat) mengenai 'party yeye'.
Grafik ketiga yang salah, menggunakan tajuk mengenai PAS yang mengkritik Zahid mengenai imej penasihat DAP Lim Guan Eng. Grafik itu dimaksudkan untuk artikel mengenai Lim yang menggesa menteri undang-undang Azalina Othman Said untuk campur tangan dalam kes pertuduhan rogol yang diringankan.
Semua hantaran berkenaan telah dialih keluar.
Malaysiakini memohon maaf atas kesilapan tersebut. Semakan dalaman telah dimulakan untuk memastikan kesilapan itu tidak berulang.
"Ini merupakan kesilapan yang amat dikesali, dan di Malaysiakini, kami percaya adalah menjadi tanggungjawab kami untuk mengakui dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya perkara ini," kata editor eksekutif Malaysiakini, RK Anand.
Editor Malaysiakini akan hadir ke Perhimpunan Agung Umno (PAU) pada hari Jumaat untuk bertemu pemimpin parti dan memohon maaf atas kesilapan itu.
Malaysiakini telah menghubungi Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh semalam untuk memohon maaf dan menyatakan niat kami untuk berjumpa sendiri pemimpin parti itu dan memohon maaf.
Ini sebelum Akmal menyiarkan video media sosial menuntut Malaysiakini membuat permohonan maaf secara rasmi di PAU.
Malaysiakini juga telah menghubungi pejabat Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, untuk memohon maaf malam tadi.
