KOLUM | Pada 2003, syarikat akhbar tempat saya bekerja menghantar dua wartawan ke Timur Tengah untuk meninjau keadaan politik di sana.
Rakan sekerja saya pergi ke Damsyik, Syria sementara saya ke Tehran, Iran sekaligus membyat liputan Persidangan Menteri-menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Ini adalah zaman sebelum media sosial dan telefon pintar. Maka syarikat akhbar yang masih mempunyai iklan yang banyak mampu untuk menghantar wartawan keluar negara. Tidaklah semua berita antarabangsa diharapkan dari media Barat yang berat sebelah.
Saya transit di Dubai. Seorang ahli perniagaan memberitahu keluarganya baru pulang dari Bahrain untuk kembali ke Tehran. Di Bahrain, mereka pergi membeli belah alat elektronik iaitu televisyen, peti sejuk dan mesin basuh untuk anaknya yang bakal melangsungkan perkahwinan. Begitu besar kesan sekatan ekonomi Barat.
Pada masa itu, dan sekarang pun, akibat sekatan dari Amerika Syarikat, kad kredit Visa atau Mastercard tidak boleh digunakan. Maka saya perlu bawa banyak wang tunai dolar AS dan kemudian ditukarkan pada riyal di sana.
Semasa di hotel, saya melihat ada sebuah kedai cenderamata kecil. Ada beberapa buah buku lama dalam bahasa Inggeris.
Pekedai yang kira-kira sebaya saya memberitahu bahawa buku-buku lama itu diperolehinya sebelum revolusi.

Saya bertanya, mana lebih baik, sama ada pada masa itu, iaitu tahun 2003 ataupun sebelum revolusi iaitu pada tahun 1979. Ketika itu pasti dia masih muda, dan merekalah yang menggerakkan revolusi itu.
Malah beliau menyatakan dirinya adalah penyokong monarki Pahlavi, keluarga Shah Iran. DIa mengambil sekeping gambar poskad Shah Iran dan menunjukkan pada saya.
Kemudian saya tanya, sebab apa? Dia termenung sebentar dan memandang ke jalan raya yang penuh dengan kenderaan.
Menurutnya, di Iran kehidupan harian adalah sukar. Mereka yang berpendidikan sukar mendapat pekerjaan yang mendatangkan pendapatan yang baik. Ramai anak muda yang mahu berhijrah ke Barat.
Ketika kunjungan itu, saya sempat beli sebuah buku puisi oleh Hafiz, penyair Parsi kurun ke-14.
Pembangunan pesat
Kunjungan pertama saya ke Iran ialah pada tahun 1988. Perang Iran-Iraq baru berakhir dan Ayatollah Khamenei baru meninggal dunia. Kesan perang masih kelihatan ialah ramai keluarga kehilangan anak, suami dan bapa. Mereka yang terkorban itu diisytiharkan sebagai syuhada dan kerajaan membiayai kehidupan waris yang ditinggalkan.
Dalam kunjungan itu, saya menziarah makam Imam Khomeini yang baru siap dibina. Kebanyakan rakyat bukan saja menyokong tetapi juga menyayanginya. Mereka bukan saja menjadi penyokong Republik Islam Iran tetapi sanggup berkorban nyawa untuk negara, ideologi dan gaya hidup mereka, walaupun dianggap sebagai terkebelakang, autoritarian dan dimusuhi oleh Barat.

Ketika itu saya pergi ke satu seminar geopolitik anjuran Institut Kajian Politik Antarabangsa Iran (IPIS) mengenai masa depan Afghanistan yang pada masa itu menyaksikan pergaduhan antara kumpulan-kumpulan Mujahidin. Dewan persidangan itu terletak di kaki pegunungan banjaran Alborz yang putih dan indah dengan airnya mengalir dan memberi bekalan air bersih kepada penduduk Tehran.
Dalam kunjungan tahun 2003 pula, saya lihat pembangunan Iran yang amat pesat. Bangunan-bangunan tinggi tumbuh di sekitar Tehran untuk menampung keperluan perumahan rakyatnya yang bertambah berganda-ganda. Lebuh raya berselirat dipenuhi kereta-kereta yang tersangkut sesak.
Pada sebelah petang, saya bersiar di sebuah taman rekreasi berhampiran hotel. Pembesar-pembesar suara secara sayup menyiarkan alunan muzik klasik Barat. Di pinggirannya, ada sebuah galeri seni. Saya melihat seni lukis kontemporer moden yang berbentuk abstrak bernada nasional.
Di situ juga terdapat restoran seperti McDonald tetapi versi Iran. McDonald dan jenama AS lain tiada di Iran kerana sekatan ekonomi Barat.
Saya bertemu dengan seorang jurugambar Iran yang membawa saya ke Universiti Tehran untuk bertemu dengan seorang ahli akademik pembangkang. Di depan universiti itu ada sederetan kedai buku sepanjang jalan. Ada seorang penjual buku sedang mempromosi sebuah buku.
Menurut jurugambar itu, buku itu adalah seorang ulama yang menghujahkan bahawa tidak ada kewajipan bagi seorang muslimah untuk menutup rambut. Sebenarnya pada tahun 2003, perintah menutup rambut muslimah sudah longgar. Ramai wanita Iran hanya memakai skaf dengan rambut depannya terbuka.
Jurugambar itu bercita-cita hendak berhijrah ke Australia kerana menurutnya Iran tidak memberi peluang untuk kerjayanya. Dia juga memperkenalkan saya pada seorang guru Inggeris yang minatnya adalah mengumpul majalah-majalah Amerika khususnya National Geographic. Dia sangat mengagumi budaya Amerika.
Jurugambar itu juga membawa saya ke pejabat sebuah akbar dan bertemu dengan editor dan wartawannya. Akhbar ini membawa suara pembangkang. Mereka berkempen untuk pembaharuan dan gerakan garis sederhana.
Pembangkang garis sederhana
Daripada cerita-cerita mereka, orang Iran terutamanya di bandar-bandar khususnya Tehran tidak menyukai ulama dan pelajar-pelajar agama. Saya diberitahu bahawa ada pemandu teksi yang tidak mahu berhenti untuk mengambil ulama. Mereka menganggap ulama ini mempergunakan agama untuk kekuasaan dan kesenangan mereka dan menyusahkan orang ramai.
Saya menaiki sebuah teksi yang pemandunya memasang muzik rock Amerika dengan kuat. Menjawab soalan saya, pemandu itu berkata bahawa dia suka Amerika dan tidak suka pemerintahan ulama kerana ia mengekang kebebasan rakyat. Ulama dan “pengawal revolusi” menurutnya bukan saja menguasai politik negara tetapi fikiran dan gaya hidup rakyat.
Pemandu itu berkata ulama perlu kembali ke masjid dan madrasah mereka. Biarlah rakyat yang menentukan politik dunia. Bagaimanapun dia menolak monarki dan keluarga Pahlavi. Keluarga itu dianggap sudah jadi sejarah. Dia mengimpikan sebuah republik demokratik dan sekular.
Tetapi majoriti penduduk Iran bukan di bandar tetapi di desa dan kampung. Di luar bandar, ramai masih menyokong ulama. Di Tehran saya diberitahu, keutuhan kerajaan terletak pada sokongan ahli-ahli perniagaan Bazaar Borzog (Bazaar Besar). Saya pun pergi ke situ dan merasakan pemerintah Iran akan pasti menjaga kepentingan ekonomi dan perniagaan mereka.
Pihak pembangkang yang dikenali sebagai Gerakan Hijau tidak berhasrat untuk menumbangkan pemerintahan Imam Khamenei dan sistem Republik Islam. Apa yang mereka tuntut adalah pentadbiran dan tata kelola yang bagus serta suasana sosial yang tidak menekan.

Pada masa itu, usaha pembangkang yang bersifat garis sederhana mendukung calon presiden yang boleh memenuhi aspirasi mereka. Tetapi kaedah mereka tidak menjadi.
Pada tahun 2009, demonstrasi besar-besaran berlaku di banyak bandar di Iran oleh penyokong-penyokong Gerakan Hijau ini hinggakan ia dipanggil sebagai Revolusi Hijau. Tetapi akhirnya demonstrasi ini hilang begitu saja dan pemerintahan Iran tetap utuh. Pada tahun itu, Syria masih diperintah oleh Presiden Bashar Assad yang merupakan sekutu kuat Iran. Begitu juga Hizbullah masih kuat di Lubnan.
Kebangkitan bangsa Parsi
Tetapi tahun 2025 adalah berbeza. Assad sudah tumbang. Pemerintah Syria yang baru bukan saja menjadi sekutu Amerika tetapi mesra Israel. Sementara Israel sudah lumpuhkan Hizbullah. Secara terang-terang Israel menaja Reza Pahlavi, putera Shah Iran untuk kembali dan memerintah Iran. Israel dan Amerika merindukan Iran zaman Shah, di mana Tehran bukan saja merupakan sekutu Amerika tetapi Shah adalah boneka mereka.
Reza Pahlavi tidak mempunyai keabsahan atau legimitasi untuk memerintah Iran. Tidak seperti Ayatullah Khamenei yang mendapat sokongan luas dari keseluruhan rakyat Iran. Pihak pembangkang pula tidak mempunyai pemimpin.
Beberapa bulan lalu, ada seorang pesara saintis Malaysia mengunjungi Iran. Dia memberitahu saya, kelihatan “retak-retak” dalam masyarakat Iran yang mana banyak di antara mereka yang tidak menyukai “sistem agama” yang ada.
Kongkongan “sistem agama” yang keterlaluan mendatangkan kesan yang “membalas balik” atau “backlash”. Ini bermakna ada anggota masyarakat yang pada awalnya menentang kerajaan kerana politik telah melarat kepada menentang agama.
Maka ada laporan dari Barat yang menyatakan bahawa terdapat orang Iran yang meninggalkan agama Islam. Malah ada antaranya mengatakan bahawa Iran patut kembali pada agama asalnya iaitu Majusi (Zoroastrianisme) kerana Islam itu adalah “agama Arab “
Sementara ada kalangan orang Sunni mengalu-alukan kejatuhan Republik Islam dengan menyatakan bahawa mazhab Iran pada awalnya adalah Sunni kerana ramai tokoh besar Sunni berasal dari Parsi. Mereka mengharapkan Iran “kembali kepada Sunni “.
Namun, dari dinasti Safawiah dan Qajar, mazhab Syiah telah membentuk jati diri nasional bangsa Parsi dan negara Iran. Ia merupakan waris peradaban Parsi Tua yang pernah mengalahkan Greek, Mesir, Babylon, Yahudi dan Rom.
Tradisi sistem Syiah inilah juga yang dapat mengalahkan Amerika semasa Revolusi Islam pada tahun 1979. Kekalahan Iran pada Iskandar Agung pada zaman purba dan di tangan Arab semasa kemaraan Islam, penguasaan Amerika pada zaman Pahlavi hanyalah sementara.
Setiap kali bangsa Parsi bangkit, ia akan menyerap peradaban dan teknologi musuhnya, baik Greek mahupun Arab. Maka begitu jugalah kali ini apabila ia berdepan dengan Amerika-Israel.
ZIN MAHMUD ialah seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
