Pada 8 Disember tahun lalu, seorang remaja tanpa kewarganegaraan yang dikenali sebagai CJ berjaya mendapat perintah mahkamah untuk disahkan sebagai warganegara Malaysia dan mendapatkan kad pengenalan (MyKad).
CJ – kini berusia 17 tahun – telah cuba mendapatkan kad pengenalannya sejak berusia 12 tahun, namun ditolak, sehingga mendorongnya mencabar perkara itu di mahkamah.
Menurut Lawyers for Liberty (LFL), Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Alice Loke, telah mengarahkan pejabat Menteri Dalam Negeri dan Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mengeluarkan MyKad kepada CJ dalam tempoh 30 hari selepas permohonan dibuat.

Bagaimanapun, lebih 30 hari telah berlalu sejak keputusan mahkamah tersebut, dan pada Isnin lalu LFL mendakwa pihak berkuasa menyukarkan urusan serta enggan memberikan borang permohonan MyKad kepada remaja itu.
Menafikan dakwaan
Tidak lama selepas LFL membangkitkan perkara tersebut, JPN bagaimanapun menafikan dakwaan melengah-lengahkan urusan CJ.
Sebaliknya, JPN berkata pihaknya sedang berusaha menangani isu pemalsuan dokumen yang didakwa dilakukan oleh ibu CJ pada tahun 2008, ketika memohon sijil kelahiran anaknya.
Kes itu juga melibatkan dakwaan sijil kelahiran tidak sah yang dikeluarkan oleh sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur, yang menurut JPN telah disenarai hitam sejak itu.
Sehubungan itu, JPN berkata ia perlu terlebih dahulu menjalankan proses pembetulan dan pengesahan dokumen bagi mematuhi peruntukan undang-undang sedia ada serta prosedur pendaftaran sebelum sebarang dokumen pengenalan diri boleh dikeluarkan.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, turut berkata tiada masalah untuk mematuhi perintah mahkamah bagi memberikan kewarganegaraan kepada CJ, namun proses itu mesti dimulakan dengan pengeluaran sijil kelahiran yang sah melalui pendaftaran lewat.
Kegilaan birokrasi yang melampau
JPN berkata pihaknya telah memberikan CJ satu senarai semak bagi pendaftaran lewat kad pengenalan sebagai sebahagian daripada proses melaksanakan perintah mahkamah tersebut.
Bagaimanapun, penasihat LFL, N Surendran, menyifatkan senarai semak yang melibatkan 62 dokumen dan 24 kategori borang yang perlu diisi oleh CJ sebagai “kegilaan birokrasi yang melampau”.
Salah satu dokumen tersebut menghendaki CJ disahkan oleh seorang saksi, sama ada wakil rakyat, majikan, ketua kaum, pegawai kerajaan atau seorang profesional.
CJ mengemukakan permohonannya pada hari Selasa, dan LFL memutuskan untuk tidak meneruskan tindakan menghina mahkamah terhadap Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JPN.

Namun begitu, halangan yang terpaksa ditempuhi oleh pelajar SPM itu untuk mendapatkan kewarganegaraan amat berbeza dengan kemudahan yang diberikan kepada tujuh pemain bola sepak kelahiran luar negara yang dianugerahkan kewarganegaraan atas alasan kononnya mempunyai keturunan Malaysia yang telah lama terputus.
Budi bicara menteri
Dalam kes pemain bola sepak tersebut, Saifuddin telah menggunakan budi bicaranya untuk mengetepikan syarat mereka perlu menetap di Malaysia sekurang-kurangnya 10 tahun sebelum boleh menjadi warganegara.
Malah, siasatan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) mendapati dua daripada pemain itu dibenarkan menduduki ujian kewarganegaraan dan diberikan MyKad dalam tempoh dua hari selepas permit kemasukan ke negara ini diluluskan.
Para pemain tersebut juga dianggap lulus ujian Bahasa Malaysia walaupun mereka mengakui kepada Fifa bahawa mereka langsung tidak boleh bertutur dalam bahasa tersebut.

Sementara itu, JPN dilihat tidak menjalankan usaha wajar (due diligence) terhadap dokumen sokongan yang dikemukakan oleh para pemain berkenaan, iaitu sijil kelahiran yang mendakwa datuk nenek mereka dilahirkan di Malaysia.
Fifa mendapati dokumen-dokumen tersebut adalah palsu, dengan satu daripadanya menunjukkan tanda-tanda pengubahsuaian yang jelas.
Tidak mengakui sebarang salah laku
Badan bola sepak itu juga mendapati dokumen daripada pemain sendiri menunjukkan bahawa datuk nenek mereka tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Malaysia.

Baik Saifuddin mahupun JPN tidak mengakui sebarang salah laku dalam kes kewarganegaraan pemain bola sepak itu, yang baru-baru ini telah dilancarkan siasatan polis selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada akhirnya membuat laporan polis.
Surendran dan pengasas bersama LFL, Latheefa Koya, masing-masing meluahkan kekecewaan tentang betapa sukarnya rakyat biasa mendapatkan kewarganegaraan.
Surendran berkata CJ sepatutnya tidak perlu ke mahkamah untuk memperoleh kewarganegaraan, sambil menyalahkan pihak berkuasa kerana gagal mengambil tindakan mengubah dasar bagi memudahkan individu yang layak memperoleh kewarganegaraan.
Janji Anwar Ibrahim
“Suatu ketika dahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim pernah berdiri bersama saya di jalanan memperjuangkan nasib golongan tanpa kewarganegaraan. Itu adalah rekod awam.

“Dan perdana menteri sendiri berjanji kepada saya 10 tahun lalu bahawa sebaik sahaja menjadi perdana menteri, beliau akan menyelesaikan masalah kewarganegaraan bagi semua kes tertunggak dengan hanya satu tandatangan. Di manakah janji itu sekarang?” soal Surendran pada sidang media selepas CJ menyerahkan dokumen, semalam.
Sementara itu, Latheefa menyasarkan kritikan kepada Pakatan Harapan (PH) dengan meminta gabungan itu menghentikan amalan dwi-standard.
“Kami bukan marah kepada pegawai bawahan JPN yang sekadar mengikut arahan.
“Tetapi masalahnya ialah mereka yang berkuasa, yang secara khusus memasukkan janji dalam manifesto untuk mendapatkan kuasa bahawa mereka akan menyelesaikan masalah ketiadaan kewarganegaraan ini, (namun mereka) masih melakukan perkara yang sama seperti pihak yang mereka kritik, dan (apabila) mereka kembali berkuasa sebagai menteri, mereka masih berkelakuan sama,” katanya.
