PAU 2025 | Tindakan parti yang dilihat berterusan enggan mencalonkan wakil dari Puteri Umno dalam pilihan raya PRU dipersoalkan ketuanya, Nurul Amal Mohd Fauzi.
Menyatakan hal itu dalam ucapan dasar sayap parti itu, Nurul Amal menyifatkan langkah diambil pemimpin Umno sebagai diskriminasi ke atas anggota wanita muda.
Sedangkan, katanya, Puteri Umno menegaskan harapan mereka untuk melihat anggota sayap parti itu dilibatkan dalam sekurang-kurangnya 30 peratus dalam pentadbiran dan politik.
Harapan tersebut, tambahnya, dibuat ketika Puteri Umno sentiasa memberikan sokongan kepada parti.
“Tapi realitinya, perkara ini tak terjadi dalam parti kita sendiri. Apa lagi yang kita (Puteri Umno) tidak beri kepada parti? Apabila (calon) Puteri mahu diketengahkan, (dikakatan) perlu mencukupi syarat itu dan ini; tetapi kalau lelaki hendak dijadikan calon, hilang deposit pun tak mengapa.
“Puteri sering didiskriminasi, setakat menahan rasa tak sudah-sudah, tetapi sampai bila?
"Kita tengok kembali ke belakang, Umno pernah menjadi platform membawa pemimpin muda ke depan. Kalau dulu boleh buat, kenapa tidak sekarang?" katanya.
Nurul Amal juga mengingatkan bahawa "ini zaman orang muda" justeru pemimpin parti perlu memberikan ruang yang adil kepada mereka.
Bukan soal legasi
Kegagalan berbuat begitu, katanya, hanya akan menunjukkan Umno sedang menyimpang dari tradisi progresif parti.
Nurul Amal berkata demikian dalam ucapan dasar bertajuk Survival Umno Perjuangan Kita pada perhimpunan agung sayap itu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Nurul Amal turut menggesa kepimpinan tertinggi Umno untuk membuat keputusan muktamad berhubung cadangan menaikkan had umur keahlian pergerakan itu kepada 40 tahun, dengan menegaskan isu berkenaan melibatkan kelangsungan mereka.
Katanya cadangan tersebut bukanlah bersifat emosi atau dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya dikemukakan secara tekal pada hampir setiap tahun.
Pun begitu, katanya, sehingga kini masih belum ada keputusan muktamad daripada pihak pengurusan tertinggi parti dan pada masa sama Puteri Umno terus berdepan dengan kerugian akibat kehilangan tenaga kerja dan bakat yang telah lama dilatih.
“Dunia hari ini telah berubah. Kita perlu memikirkan bagaimana survival Puteri Umno untuk 25 tahun akan datang. Ramai bakat dan pelapis yang berpotensi berisiko hilang begitu sahaja apabila melepasi had umur sedia ada,” katanya.

Tambah Nurul Amal cadangan menaikkan had keanggotaan Puteri Umno bukan sahaja dapat memastikan kesinambungan kepimpinan, malah mampu mengurangkan kerugian besar kepada parti dengan mengekalkan bakat sebagai aset dan pelapis kepimpinan masa depan.
Sehubungan itu, Nurul Amal berharap agar cadangan berkenaan tidak lagi sekadar didengar, sebaliknya dipertimbangkan secara serius dan diputuskan dengan sewajarnya demi masa depan parti.
“Ini bukan soal legasi, tetapi soal survival Puteri Umno,” katanya.
Menyentuh isu dalaman, Nurul Amal berkata memang terdapat keperluan untuk pengurusan pembiayaan yang tersusun bagi memastikan jentera parti dapat berfungsi dengan berkesan.
Katanya, Umno tidak boleh bergantung kepada idealisme semata-mata tanpa sokongan sumber yang teratur kerana keadaan itu boleh menyebabkan 'keletihan' dalam kalangan ahli yang bekerja, serta jurang antara pemimpin dan realiti di peringkat akar umbi.
Puteri Umno juga, katanya, menyedari wujud kelemahan dalaman parti, termasuk isu perpecahan, pergaduhan sesama sendiri serta masalah ego yang dianggap sebagai menjadi antara faktor parti itu ditolak serta lemah.
“Jika keadaan ini berterusan, Umno tidak akan bertahan lama. Parti tidak boleh dibina dengan rasa takut atau kepura-puraan,” katanya sambil menyeru agar ahli berani mengakui kelemahan, memperbetulkan persepsi dan melakukan evolusi selari dengan perubahan zaman.
Jan tahun lalu, Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin, berkata cadangan berkenaan menaikkan had umur Puteri sudah dibawa ke peringkat negeri dan bahagian di seluruh negara untuk dibincangkan serta diperhalusi secara mendalam.
Dia yang juga Pengerusi Biro Perlembagaan dan Keahlian Umno berkata, kepimpinan pusat kemudian akan meneliti pandangan serta syor dikemukakan oleh pemimpin di peringkat negeri dan bahagian.
Laporan oleh Shakira Buang, Haspaizi Zain, dan Alyaa Alhadjri
