Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Annuar Musa menegaskan PAS tidak pernah melihat Umno sebagai musuh politik, namun memberi isyarat jelas bahawa parti Islam itu bersedia mengisi kekosongan yang ditinggalkan Umno yang kian merosot sokongan.
Annuar berkata pendekatan politik PAS berteraskan “fikrah dan syariat”, bukan emosi atau kepentingan jangka pendek parti, sekali gus membezakan PAS dengan Umno yang menurutnya semakin hilang arah dan pengaruh.

“PAS tidak menghitung untung rugi kepada parti atau individu, sebaliknya melihat dari sudut gambaran besar dasar dan perjuangan. Soal ummah, soal amanah.
“Sebab itu, PAS tidak melihat Umno sebagai musuh, tidak berhasrat untuk melihat Umno dibubar atau terkubur,” kata bekas setiausaha agung Umno itu sambil menambah bahawa PAS berulang kali membantu Umno ketika parti itu berada dalam keadaan lemah.
Menurut Annuar, PAS lebih istiqamah, matang dan tidak sombong walau kekuatan PAS kini dua kali ganda berbanding kekuatan Umno dari segi kerusi, undi dan pengaruh.
“Sebab itu jugalah PAS berkali-kali menghulur tangan bila Umno jatuh dan terduduk.
“PAS tidak memijak bila Umno jatuh,” katanya.

Ini, katanya termasuk menyertai penubuhan BN selepas peristiwa 13 Mei 1969 dan menjalin Muafakat Nasional (MN) selepas Umno tumbang pada PRU14.
Menurutnya, PAS turut memberi laluan kepada Umno untuk kembali berkuasa sehingga berjaya membentuk kerajaan dan melahirkan perdana menteri daripada parti itu.
Namun, Annuar mendakwa kerjasama itu berakhir apabila Umno memilih untuk bersama DAP dan PKR selepas PRU15, yang disifatkannya sebagai “menikam” PAS dan rakan gabungan Perikatan Nasional (PN).
“Apabila menjadi kerajaan, Umno bersubahat menganiayai ahli-ahli parlimen Islam dari PAS dan PN,” katanya dan menambah PAS tetap membuka ruang damai demi kepentingan bangsa dan agama.
Annuar turut melontarkan kritikan keras terhadap kedudukan semasa Umno, dengan mendakwa parti itu sedang berdepan penolakan rakyat, kekeringan dana serta kehilangan kerusi secara berterusan.

Dalam nada yang jelas berunsur peringatan, dia berkata PAS tidak akan mengambil kesempatan terhadap kelemahan Umno, namun menegaskan parti itu akan terus mara ke hadapan.
“Sama ada Umno mahu bergandingan atau sebaliknya, PAS tetap melangkah kehadapan.
“Setiap lompang yang Umno tinggalkan, PAS akan menggantikan. Perjuangan orang Melayu dan Islam di Malaysia tetap dijunjung oleh PAS,” katanya.
Annuar turut mendakwa sokongan terhadap PAS terus berkembang, termasuk daripada bekas ahli Umno, golongan muda dan sebahagian masyarakat bukan Islam yang menurutnya memahami nilai Islam yang dibawa parti itu.
Kenyataan Annuar hadir ketika hubungan Umno-PAS kembali menjadi perbincangan susulan perpecahan dalaman PN dan perdebatan mengenai masa depan kerjasama politik Melayu-Islam, dengan PAS dilihat semakin yakin terhadap kedudukannya sebagai kuasa dominan pembangkang.
