Ahli perniagaan Albert Tei mengkritik DAP Pemuda Sabah yang menurutnya berdiam diri tentang skandal perlombongan yang didedahkannya sejak November 2024, namun kini mempersoalkan pelantikan salah seorang ahli politik yang terpalit, Yusof Yacob, sebagai pengerusi GLC negeri itu.
“Di manakah DAP ketika skandal lesen penerokaan mineral didedahkan beserta rakaman video dan pelbagai bukti lain pada November 2024? Empat belas bulan telah berlalu.
“Bukankah sudah agak terlewat untuk anda bersuara sekarang?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada Disember 2024, Tei mendedahkan video yang memaparkan Yusof, yang merupakan bekas adun Sindumin, dan tangkap layar pesanan Whatsapp berkaitan skandal itu.
Pada 30 Jun tahun lalu, Yusof - yang sebelum itu merupakan pengerusi cabang pelaburan kerajaan negeri, Qhazanah Sabah Bhd - dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan menerima RM200,000 daripada Tei. Tei turut didakwa atas pertuduhan memberi rasuah.
Suapan itu, yang didakwa bertujuan membantu memproses lesen penerokaan bagi Syarikat Nusa Kini Sdn Bhd, kononnya diserahkan di bar di Hotel Hilton di Kota Kinabalu pada 6 Mac 2023.
Sementara itu, Tei hari ini mendakwa DAP selama ini menutup mulut berhubung skandal yang melibatkan ahli politik daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang merupakan sekutu PH.
Dia berkata Pengerusi DAP Sabah, Phoong Jin Zhe merupakan anggota kabinet kerajaan negeri namun tidak berkata apa-apa berkenaan perkara itu.
“Selepas anda dihukum pengundi Sabah dengan keputusan 8-0, tiba-tiba anda mula bersuara. Sudah terlambat,” katanya merujuk kekalahan DAP di semua kerusi yang ditandingi dalam PRN yang lalu.

Semalam, Ketua Pemuda DAP, Sabah Chan Loong Wei menggesa Ketua Menteri, Hajiji Noor menimbang semula pelantikan Yusof sebagai pengerusi Sabah Development Bhd (SDB).
Dia berkata pelantikan baru dalam GLC tidak seharusnya melibatkan individu yang telah disabitkan bersalah di mahkamah, mahupun yang sedang berdepan kes undang-undang yang serius.
Pelantikan itu turut mengundang kritikan sejumlah pihak lain, termasuk Bersih dan Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center).
Selain Yusof, seorang lagi bekas adun Sabah, Andi Suryady Bandy turut dihadapkan di mahkamah berhubung skandal perlombongan tersebut.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menafikan dia melindungi ahli-ahli politik GRS lain daripada pendakwaan, sambil menegaskan perkara itu masih dalam penelitian Jabatan Peguam Negara.
