SPRM akan mengesyorkan sekurang-kurangnya tiga pegawai kanan tentera dihadapkan dengan pertuduhan jenayah, susulan siasatannya terhadap dakwaan rasuah melibatkan dana dan perolehan tentera.
Ia berkaitan siasatan terhadap bekas panglima tentera darat, Hafizuddeain Jantan yang masih berjalan, dan satu lagi siasatan melibatkan beberapa pegawai tinggi tentera yang lain.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata pegawai penyiasat telah diminta melengkapkan siasatan pada minggu depan dan menyerahkan hasil siasatan kepada timbalan pendakwa raya.
“Saya akan segera maklumkan kepada media jika pendakwaan akan dikenakan kepada suspek dalam kes-kes ini.
“Untuk kes pertama, (SPRM akan cadang pertuduhan) seorang atau dua orang. Untuk kes kedua, mungkin sekurang-kurangnya dua orang akan dituduh.
“Kesemuanya adalah pegawai tentera,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, hari ini.

Azam juga tidak menolak kemungkinan lebih ramai suspek akan didakwa, namun menjelaskan ia bergantung kepada timbalan pendakwa raya.
Pada minggu lalu, SPRM menahan reman Hafizuddeain dan dua isterinya berkenaan siasatan dakwaan rasuah melibatkan perolehan projek tentera.
Selain Hafizuddeain dan dua wanita itu, satu lagi pasangan yang dikaitkan dengan kes tersebut juga ditahan dan direman.
Setakat ini, SPRM telah menahan 23 individu berhubung kes tersebut dan merakam keterangan 30 saksi.
Aset berjumlah RM11.4 juta turut dirampas, antaranya wang tunai RM4.4 juta, 26 jam mewah bernilai RM2.3 juta, jongkong emas berharga RM2.5 juta, serta barang kemas, antara lain.
SPRM turut membeku 75 akaun bank milik syarikat yang disiasat, melibatkan RM32.5 juta.

“Penyitaan wang dan aset dibuat di dua tempat - satu residensi di Kuala Lumpur yang dikatakan sebagai ‘rumah rahsia’ dan sebuah rumah di Besut, Terengganu,” kata Azam.
Bagaimanapun Azam enggan mendedahkan butiran lanjut apabila ditanya berkenaan perincian kontrak dan saiz dana yang terlibat.
Lebih ramai ditahan
Berkenaan kes kedua, Azam berkata pihaknya telah menahan empat pegawai kanan tentera dan sembilan orang awam untuk membantu siasatan.
Mereka termasuk dua “pegawai kanan tinggi” yang ditahan ketika hadir memberi keterangan awal minggu ini.
Bagaimanapun, kedua-duanya tidak ditahan reman kerana SPRM hanya memerlukan mereka untuk melengkapkan peringkat akhir siasatan kes yang bermula pada Oktober, kata Azam.
“Insya-Allah siasatan selesai minggu lepan dan akan dikemukakan kepada timbalan pendakwa raya paling lewat Jumaat depan,” katanya lagi.
Azam berkata SPRM juga telah merakam keterangan 35 saksi dan merampas pelbagai aset bernilai RM4.7 juta, termasuk sebuah Mercedes A180 Class dan Toyota Vellfire, RM1.3 juta tunai, serta 66 jongkong emas bernilai RM1.7 juta.
