Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gobind: AG mohon semak kes himpunan aman 'lengahkan' reformasi
Diterbitkan:  Jan 15, 2026 4:39 PM
Dikemaskini: 8:39 AM

Pengerusi DAP, Gobind Singh, menggesa Peguam Negara Dusuki Mokhtar supaya memberi pertimbangan serius terhadap permohonan semakan atas keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes melibatkan Pengarah Eksekutif NGO Mandiri, Amir Hariri Abdul Hadi.

Dia menegaskan PH sejak sekian lama memperjuangkan pembaharuan terhadap Akta Perhimpunan Aman (PAA), maka susulan keputusan mahkamah tertinggi itu, kerajaan Madani telah mengambil langkah proaktif dengan mencadangkan penambahbaikan kepada undang-undang berkenaan.

“Sambil saya mengakui peguam negara dan pasukannya telah bekerja keras untuk menyokong inisiatif pembaharuan perundangan kerajaan setakat ini, saya bimbang semakan terhadap keputusan kehakiman ini akan melambatkan kemajuan pindaan akta tersebut sehingga prosiding itu selesai,” katanya pada satu kenyataan.

Gobind, yang turut memegang jawatan sebagai menteri digital berkata permohonan semakan itu akan mengehadkan keupayaan kerajaan untuk menangani reformasi yang lebih luas, sekali gus mengecilkan skop pindaan hanya kepada isu yang dibangkitkan dalam permohonan tersebut — pembaharuan yang sepatutnya boleh dilaksanakan melalui parlimen.

Pengarah Eksekutif NGO Mandiri, Amir Hariri Abdul Hadi.

Dia memaklumkan perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat kabinet semalam.

“Kerajaan Madani komited terhadap pembaharuan institusi dan perundangan yang menjunjung kedaulatan undang-undang serta ruang demokrasi.

“Perdana menteri minggu lalu telah mengumumkan pembaharuan termasuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal, memisahkan peranan peguam negara dan pendakwa raya, memperkenalkan Akta Kebebasan Maklumat serta menubuhkan ombudsman. Pindaan kepada beberapa undang-undang lain juga sedang berjalan selaras dengan agenda reformasi kerajaan.

“Oleh itu, memandangkan usaha pindaan terhadap PAA sudah pun bermula, kita wajar mengambil peluang ini untuk menilai semula dan menambah baik peruntukan akta tersebut melalui Parlimen, bukannya meneruskan litigasi lanjut menerusi permohonan semakan (di mahkamah),” tambahnya.

Pada Selasa, Amir mempersoalkan komitmen Perdana Menteri Anwar Ibrahim terhadap reformasi selepas Jabatan Peguam Negara memfailkan permohonan semakan terhadap pengisytiharan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan satu peruntukan PAA bercanggah dengan perlembagaan.

Pada Julai tahun lalu, panel lima hakim yang dipengerusikan oleh ketua hakim negara ketika itu, Tengku Maimun Tuan Mat, menyampaikan keputusan sebulat suara yang memutuskan Seksyen 9(5) PAA bercanggah dengan Perlembagaan.

Tengku Maimun berkata Seksyen 9(5) PAA mengenakan hukuman yang melangkaui had yang dibenarkan di bawah Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.

Cabaran itu difailkan oleh Amir, yang didakwa atas kegagalan memaklumkan pihak berkuasa sebelum mengadakan satu protes berhubung isu kapal tempur pesisir (littoral combat ship) pada 2022.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS