Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Dr Puad Zarkashi, menegaskan keputusan Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Salleh, meletak jawatan sebagai exco kerajaan negeri Melaka tidak memberi kesan signifikan terhadap perjuangan politiknya.
Puad berkata tindakan Akmal untuk mengundur diri daripada kerajaan negeri pimpinan BN itu tidak sama dengan keluar daripada kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan (PH).
“Melawan DAP tidak perlu full time (sepenuh masa) hingga terpaksa letak jawatan exco Melaka.
Melaka diterajui kerajaan pimpinan BN. Meletak jawatan exco dalam kerajaan pimpinan BN tidak sama dengan keluar dari kerajaan pimpinan PH,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Menurut Puad, meletak jawatan exco Melaka tidak “carry weight” berbanding letak jawatan ketua Pemuda Umno dalam isu “pull the plug”. Justeru, katanya, Akmal tidak wajib melepaskan kedua-dua jawatan itu untuk mengekalkan pengaruh politiknya.
“Yang penting lawan tetap lawan walaupun berada dalam kerajaan yang sama. Tetapi Akmal mungkin ada rasional sendiri,” kata Puad, sambil menekankan bahawa kehadiran politik Akmal boleh diteruskan tanpa perlu menanggalkan jawatan rasmi.
Kenyataan ini dibuat selepas Akmal mengumumkan keputusannya untuk meletakkan jawatan sebagai exco Melaka untuk membolehkan dia “menentang DAP habis-habisan.”

Berucap pada Perhimpunan Pemuda Umno, Akmal berkata peletakan jawatan itu melibatkan portfolionya sebagai Exco Kemajuan Desa dan Keterjaminan Makanan negeri dan akan berkuat kuasa pada minggu depan.
Pengumuman tersebut turut disaksikan Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh, yang turut hadir dalam persidangan berkenaan sebagai pemerhati.
Kata Akmal, keputusan yang diambil itu bersandarkan kepada maruah.
"Saya nak bagi tahu, apabila saya tidak lagi berada dalam exco (Melaka), saya akan lawan kamu habis-habisan.
"Saya nak bagi tahu pada yang tanya ‘lu siapa’ (sebelum ini). Saya nak jawab, gua ada maruah, lu ada maruah ke tidak," katanya.
Sebelum ini dia sering bertelagah dengan pemimpin DAP mengenai pelbagai isu.
Perbalahan terbaru adalah dengan ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, yang mahu meraikan keputusan mahkamah berhubung penolakan permohonan bekas presiden Umno, Najib Razak untuk dikenakan tahanan rumah.
Insiden itu mendorong Akmal untuk menggesa Umno keluar daripada kerajaan, yang seterusnya menyaksikan Pemuda DAP mencabar ketua Pemuda Umno itu untuk meninggalkan kerajaan Melaka.
