Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AMK kecam perbandingan hubungan kaum M’sia dengan konflik Israel-Palestin
Diterbitkan:  Jan 15, 2026 6:29 PM
Dikemaskini: 1:29 PM

Pemuda PKR menyelar seorang wartawan portal tempatan yang mengutarakan soalan yang didakwa membandingkan hubungan kaum di Malaysia dengan penjajahan regim Israel terhadap Palestin.

Setiausahanya, Omar Mokhtar A Manap menyifatkan tindakan itu sebagai "jahil" dari sudut sejarah dan fakta, selain mencerminkan kegagalan memahami realiti sosial negara.

"Hubungan antara kaum di Malaysia tidak pernah dibina atas asas penjajahan atau penindasan sistematik.

"Sejarah membuktikan bahawa kemerdekaan Malaysia dicapai melalui kerjasama kolektif antara Melayu, Cina, dan India dalam menentang penjajah British, bukannya satu kaum menindas kaum yang lain.

"Adalah tidak masuk akal untuk menyamakan penjajah Zionis Israel dengan orang Melayu, dan rakyat Palestin yang dijajah dengan kaum lain di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Omar yang juga setiausaha politik Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution merujuk kepada soalan wartawan tersebut kepada ahli politik Britain pro-Palestin, George Galloway dalam sidang media di Kuala Lumpur, dua hari lalu.

Soalannya berkisar hubungan antara orang Melayu dan Cina di Malaysia dan membandingkannya dengan hubungan Israel dan Palestin. 

Mengulas lanjut, Omar berkata cubaan membuat analogi sedemikian sebagai manipulasi naratif bahaya yang boleh menggugat keharmonian masyarakat majmuk.

"Konflik Palestin-Israel adalah isu pembersihan etnik dan pelanggaran hak asasi manusia yang berat, bukan sekadar isu hubungan kaum biasa.

"Sehubungan itu, Pemuda PKR mengingatkan pihak media agar lebih bertanggungjawab dalam menjalankan tugas, terutama apabila menyentuh isu sensitif.

"Media memikul tanggungjawab besar untuk mendidik dan menyampaikan fakta, bukannya mencetuskan kekeliruan atau provokasi yang boleh memecahbelahkan masyarakat," katanya.

Sementara itu, Gerakan Media Merdeka (Geramm) dan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) menegaskan golongan wartawan wajib dilindungi daripada sebarang serangan peribadi mahupun tekanan melampau ketika menjalankan tugas.

Kedua-dua organisasi itu dalam kenyataan bersama berkata walaupun ada perbezaan pandangan dalam pelaporan atau teknik menyoal, petugas media tidak seharusnya menjadi sasaran tindakan yang boleh menggugat keselamatan, maruah, serta kebebasan mereka untuk bekerja.

"Kami mengecam sebarang bentuk gangguan dan intimidasi, termasuk amalan ‘doxxing’ serta ancaman yang meletakkan wartawan dalam risiko bahaya.

"Perbuatan sedemikian bukan sahaja menjejaskan individu terlibat, malah menggugat peranan media sebagai salah satu tonggak penting dalam sistem masyarakat demokratik," kata mereka susulan beberapa pengguna media sosial yang mengongsikan gambar wartawan terbabit.

Pada masa sama, Geramm dan NUJM menekankan pertimbangan profesional dan inkuiri kritikal adalah teras kepada kewartawanan yang bertanggungjawab.

Ini termasuklah penyediaan soalan dan naratif yang teliti melalui penyelidikan serta analisis yang mendalam bagi memastikan setiap laporan mempunyai asas yang kukuh, kata mereka.

Selain itu, mereka mengingatkan bahawa tanggungjawab editorial adalah bersifat kolektif dan tidak seharusnya diletakkan di bahu wartawan secara individu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS