Isu pemindahan ladang babi ke Bukit Tagar terus mendapat perhatian, namun bagi pemimpin tempatan di Hulu Selangor, keutamaan pembangunan di kawasan parlimen tersebut seharusnya tertumpu kepada kemudahan kesihatan yang keperluannya mendesak.
Penyelaras Pakatan Harapan (PH) parlimen Hulu Selangor, Sathia Prakash Nadarajan berkata, walaupun dia menghormati keputusan kerajaan negeri untuk menyusun semula industri penternakan tersebut, keperluan sebuah hospital di daerah itu jauh lebih kritikal.
"Saya menghormati keputusan kerajaan negeri (mengenai Bukit Tagar), tetapi perkara paling penting di Hulu Selangor sekarang adalah sebuah hospital.
"Penduduk di parlimen berkenaan sudah lama mendambakan akses perubatan yang lebih dekat dan efisien. Itu adalah keperluan mendesak rakyat di sini," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, dia diminta mengulas keputusan kerajaan negeri memindahkan ladang babi ke Bukit Tagar yang terletak bawah kawasan parlimen Hulu Selangor.
Isu ini timbul susulan pengumuman kerajaan negeri Selangor untuk memindahkan operasi penternakan babi dari Tanjung Sepat, Kuala Langat ke Bukit Tagar–lebih 130km dari lokasi asal.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim sebelum ini menjelaskan bahawa Bukit Tagar dipilih kerana lokasinya yang jauh dari penempatan penduduk dan berhampiran tapak pelupusan sampah.
Langkah itu diambil bagi menyelesaikan masalah pencemaran bau, lalat, dan air sungai yang menghantui penduduk di Kuala Langat sejak sekian lama.
Cadangan tersebut turut mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang menzahirkan kegusaran terhadap kualiti hidup rakyat di Kuala Langat akibat pengurusan ladang sedia ada yang tidak teratur.
Baginda bertitah agar operasi di Tanjung Sepat dihentikan secara beransur-ansur dan dipindahkan ke pusat penternakan moden berteknologi tinggi di Bukit Tagar yang tidak melibatkan dana awam.
Sultan Sharafuddin juga menegaskan penternakan di kawasan baru itu mestilah hanya untuk kegunaan rakyat bukan Islam di Selangor dan bukan untuk tujuan eksport.
Izham dalam kenyataannya di Facebook turut mempertahankan keputusan itu dengan menyatakan bahawa kawasan Bukit Tagar adalah "kawasan yang makhluk lain pun tak sanggup tinggal," bagi menepis dakwaan bahawa ia akan mengganggu penempatan kaum tertentu.
Sementara itu, Sathia yang juga ketua cabang PKR Hulu Selangor menjelaskan bahawa kepadatan penduduk di Hulu Selangor kini mencecah lebih 300,000 orang, namun mereka masih bergantung kepada kemudahan kesihatan di luar daerah.
Menurutnya, ketiadaan hospital besar menyebabkan penduduk terpaksa menempuh perjalanan jauh ke Hospital Sungai Buloh, Hospital Selayang atau Hospital Slim River di Perak jika berlaku kecemasan.

"Parlimen Hulu Selangor adalah kawasan yang sangat besar, malah saiznya lebih besar daripada keseluruhan negeri Melaka.
"Sebagai perbandingan, Melaka kini mempunyai tiga buah hospital kerajaan, tetapi Hulu Selangor yang sebesar ini masih belum mempunyai satu pun hospital sendiri.
"Jarak untuk mendapatkan rawatan kecemasan buat masa ini memang sangat jauh," katanya yang juga seorang doktor dan pemilik jaringan klinik di Lembah Klang.
Kesemua lokasi itu terletak kira-kira 45 minit perjalanan.
Katanya, penduduk Hulu Selangor berharap agar kerajaan negeri dan persekutuan mengambil keputusan yang munasabah antara keperluan industri dan hak penduduk untuk mendapatkan kemudahan kesihatan yang setara dengan saiz parlimen tersebut.
