“Tanggalkan jubah mufti dan ayuh berentap dalam pilihan raya, kalau kamu anak jantan!” Demikian pekik para pentaksub parti politik terhadap mufti kerajaan negeri Perlis, Prof Mohd Asri Zainul Abidin, atau yang lebih popular dikenali sebagai Dr Maza.
Dalam banyak-banyak mufti negeri di Malaysia, beliaulah yang sentiasa menjadi sasaran kebencian para pentaksub dan pemain politik kepartian kerana beliau sahaja yang sentiasa mengikuti, menulis, berucap dan mengkritik secara terbuka semuka parti politik tanpa kecuali.
Kepada yang membencinya, baik atas nama politik mahupun pandangan mazhab, kecaknaan beliau terhadap politik dilihat sebagai perbuatan “menyibuk”, manakala yang menyokong beliau, dan yang berada di atas pagar, pandangan beliau sentiasa dinanti-nantikan dengan keterujaan kerana kepedasan, ketajaman dan keberaniannya, bukan hanya terhadap mana-mana parti politik, malah terhadap pemerintah.
Semakin banyak beliau berhujah, semakin ramai yang menyerang, dan semakin ramai juga yang sayang. Yang banyak bercakap tentulah akan banyak diserang, manakala yang duduk diam-diam bersandar di kerusi empuk berhawakan kedinginan mesin penyejuk berkuasa kuda-kuda tentulah hidupnya tenang-tenang, cukup bulan gaji dibilang.
Salahkah seorang mufti bersuara dan mengkritik mana-mana parti politik yang bersaing di Malaysia ini? Ya, salah! Salah kerana mengkritik parti kami. Kalau parti orang lain tak mengapa. Apatah lagi parti kami berjenama agama dan kami sahajalah yang memperjuangkan agama Islam dalam negara ini.
Jikalau pandangan mufti selari dengan kami, barulah mufti itu dikira berani dan bebas. Jikalau bertentangan, mufti tidaklah lebih daripada seorang lelaki yang menjadi tentera upahan kerajaan. Bunyi suara begini bukan baharu.
Sejak berpuluh tahun disemai dan disebarkan kepada para pengikutnya, bahawa mufti lantikan kerajaan hanyalah alat kerajaan yang tidak wajib ditaati dalam pandangan politiknya. Tetapi, menarik juga untuk disoal, bagaimana jika mereka sendiri yang menjadi kerajaan, ketika itu mufti masih menjadi alat kerajaan atau pandangan mufti harus dituruti?
Sekular adalah politik suku, agama suku. Benar, secara ringkas, memisahkan agama dan politik adalah prinsip utama sekularisme. Lalu, apakah seseorang mufti yang merupakan pemuka agama tertinggi di sesebuah negeri tidak layak bercakap soal politik?
Apakah kalian gembira jika seseorang mufti hanya menjadi saksi bisu terhadap kebobrokan yang berlaku dalam masyarakat terkait politik kepartian tanpa upaya menegurnya? Apakah seseorang mufti itu hanya layak dihormati ketika ia sentiasa memuja-muji parti politik sekalipun pandangan parti politik itu jarang mengajak kepada penyatuan ummah dan keharmonian warganegara?
Kerajaan mana yang tak ditegurnya?
Penulis bukan secara membuta tuli ingin mempertahankan mufti Perlis, kerana penulis sendiri beberapa kali pernah tidak bersetuju dengan pandangan politik beliau, secara berhemah. Tetapi kebenaran perlu dinyatakan tanpa prejudis.
Cuba kalian bertenang dan menelaah semula sepanjang sejarah politik negara kita dalam tempoh 20 tahun ini. Daripada kerajaan BN, kepada Pakatan Harapan (PH), seterusnya Perikatan Nasional (PN) dan kemudian kepada Kerajaan Perpaduan hari ini, kerajaan mana yang beliau tidak kritik dan beliau tidak tegur secara terbuka?
Sentiasa sahaja ada pandangan beliau yang menghiris dan mengguris, sama ada kita bersetuju ataupun tidak bersetuju. Beliau sentiasa berdiri di luar lingkaran politik dan bersuara. Adakah pernah beliau tersilap? Pastilah ada, kerana beliau adalah mufti, bukannya nabi. Apatah lagi politik adalah berkaitan ijtihad semasa yang bertolak daripada masa dan keadaan tertentu.
Satu pandangan tidak sentiasa betul pada setiap waktu. Setiap orang tidak mungkin sentiasa betul pada setiap masa dalam mengemukakan pandangan politik. Tetapi menyelar dan membalas dengan cabaran untuk menyertai pertandingan politik setiap kali seseorang mufti bersuara bukanlah respons yang bijak. Ia hanya menyerlahkan natijah daripada ketaksuban terhadap kumpulan sendiri yang dipuja-puja dan dianggap sentiasa betul.
Sepanjang sejarah tanah ini, ramai pemuka agama yang pernah bangkit dan bersuara demi politik, sesuai zamannya. Tokku Paloh di Terengganu pernah menjadi penasihat agama Sultan Zainal Abidin III dan pada masa yang sama menjadi penentang British yang ketika itu menjajah Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu.
Walaupun Tokku Paloh dilantik oleh pemerintah, beliau bersedia untuk menasihati dan menegur pemerintah, antaranya dalam penggubalan undang-undang tubuh negeri Terengganu yang dikenali sebagai Itqan al-Muluk bi Ta’dil as-Suluk dengan menyebut dalam Fasal Tegahan Terhadap Raja, “Maka tiada lulus dan tiada sah sekali-sekali Raja membuat perjanjian atau ikhtiar melepas atau menyerahkan negeri dan kerajaannya atau suatu bahagian daripada kuasa kerajaan atau huquqnya itu kepada sebarang mana-mana kerajaan atau kepada kuasa-kuasa Eropah atau lainnya.”
Tokku Paloh bukan sahaja menjadi pengajar dan penyebar dakwah, tetapi turut menyertai politik pada zamannya, meskipun berdiri di atas lantikan pemerintah. Banyak lagi nama-nama besar yang merupakan pemuka agama pada zamannya, yang berdakwah menyebarkan agama Islam, berfatwa dan berijtihad, pada masa yang sama mengomen dan menulis tentang politik.
Syed Syeikh al-Hadi, sang reformis; Syeikh Tahir Jalaluddin yang pernah menjadi mufti Perak; serta Haji Abbas Taha yang pernah menjadi mufti Pahang, semuanya bersuara menentang kebatilan dan melawan status quo sehingga munculnya polemik Kaum Tua dan Kaum Muda.
Sifir pentaksub parti politik
Jikalau mengikut sifir sang pentaksub parti politik, maka para pemuka agama dan para mufti tersebut perlulah berdiam diri daripada menegur para pemain politik sezaman atau bersedia pula menanggalkan jubah agama mereka dan menubuhkan gerakan politik seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).
Mereka tidak menyertai gerakan politik, sebaliknya mengekalkan jubah, serban atau kopiah, dan pada masa yang sama tekal menegur dan berdiri mendada mengadap mana-mana pihak yang dilihat menyeleweng dan tidak berfungsi atas paksi Islam yang menuruti al-Quran dan hadis.
Daripada pengalaman dan rakaman sejarah, dapat kita lihat akan peranan dan kepentingan yang dimainkan oleh para pemuka agama, baik atas kapasiti rasmi mahupun secara persendirian dalam menegur mana-mana pihak tanpa perlu taksub kepada warna bendera kepuakan.
Kita tidak perlu gusar jika para mufti dan cerdik pandai kerap menulis dan menegur secara terbuka mana-mana kesilapan yang berlaku secara terbuka, tetapi kita perlu gusar apabila mereka semua memilih untuk berdiam diri dan menjadi penonton kepada kebejatan yang berlaku dalam ummah dan masyarakat umumnya.
Kebejatan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, berjenama agama atau tidak berjenama agama, kerana kita semua adalah manusia yang sentiasa terdedah kepada noda dan dosa. Kalau ada perasaan bahawa kumpulan atau jemaahnya tidak pernah tersilap, maka berhentilah berinteraksi dengan manusia, mungkin anda daripada kumpulan malaikat.
SAHUL HAMID MOHAMED MAIDDIN pensyarah kanan Jabatan Sejarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
