Naib pengerusi DAP, Teresa Kok, hari ini membuat laporan polis berhubung satu artikel berita palsu yang mendakwa dia menyokong “sijil halal untuk babi”.
Anggota Parlimen Seputeh itu menyifatkan artikel tersebut, yang kini tular di media sosial, sebagai fitnah dan menegaskan dia tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.
“Artikel palsu dan berunsur fitnah ini telah mencemarkan nama baik saya dan menjadikan saya sebagai penghasut kaum dan agama yang menjejaskan keharmonian masyarakat.
“Saya memohon polis menjalankan siasatan terhadap kesemua pemilik akaun media sosial yang menyiarkan artikel yang berbaur hasutan ini dan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya,” katanya di Facebook hari ini.
Kok dan pegawainya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sri Petaling dan turut mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Dalam hantaran Facebooknya, Kok turut menamakan 18 akaun Facebook dan satu akaun Thread yang didakwa bertanggungjawab menyebarkan dakwaan berkenaan, serta menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun tersebut.
Artikel berita palsu itu memaparkan tajuk yang direka menyerupai akhbar tempatan Berita Harian, yang berbunyi: “Sijil halal untuk daging babi adalah wajar – Teresa Kok”.
Kok berkata dimaklumkan mengenai perkara itu pada semalam, apabila rakannya menghantar mesej WhatsApp berkaitan artikel tersebut selepas ia tular di media sosial.
