Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Cadangan DPA benarkan kes rasuah 'dirunding' dengan penjenayah

Jika kerajaan Madani serius untuk menghapuskan rasuah — buktinya menunjukkan sebaliknya — ia bukan sahaja perlu memisahkan kuasa peguam negara tetapi memastikan badan seperti SPRM diketuai oleh individu yang kompeten dan diberikan kebebasan untuk bertindak.

Cadangan terbaru oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki untuk memperkenalkan perjanjian penangguhan pendakwaan (DPA) yang dibuat dalam satu audio siar bersama Berita Harian membimbangkan, kerana ia membenarkan kes rasuah besar (RM100 juta atau lebih) dirunding dengan penjenayah.

Ini bukan sekadar angan-angan kerana cadangan itu dijangka akan dibentangkan pada Jun ini dan kemungkinan besar akan diterima oleh majoriti anggota parlimen untuk menjadi undang-undang.

Berbeza dengan DPA di negara lain yang hanya membenarkan perkara ini untuk syarikat, Azam mahu ia merangkumi individu. Ini mencetuskan kebimbangan terhadap potensi penyalahgunaan aturan sedemikian, yang menambah satu lagi lapisan budi bicara kepada aktiviti penguatkuasaan undang-undang.

Azam Baki

Baru-baru ini, peguam negara tanpa alasan yang jelas menggunakan kuasa budi bicaranya yang luas untuk beralih daripada melepas tanpa membebaskan (DNAA) kepada tiada tindakan lanjut (NFA) dalam kes profil tinggi timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi yang melibatkan 47 pertuduhan rasuah.

Ini dilakukan walaupun hakim perbicaraan memutuskan bahawa terdapat kes prima facie terhadap Ahmad Zahid. Di sebalik pembelaan peguam negara terhadap keputusannya, ia kelihatan seperti kepentingan politik (peguam negara hakikatnya dilantik oleh perdana menteri) yang menentukan isu tersebut. Ahmad Zahid dan Anwar Ibrahim adalah sangat rapat.

Awal minggu ini, Azam memberitahu audit siar Berita Harian bahawa SPRM mencadangkan mekanisme DPA sebagai sebahagian daripada usaha menyelesaikan kes rasuah bernilai tinggi melibatkan RM100 juta ke atas tanpa melalui perbicaraan penuh mahkamah.

Bentang di parlimen pada Jun

Malaysiakini, ketika melaporkan audio siar tersebut, menyatakan rangka kerja itu dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jun ini, dengan perkara itu kini dalam peringkat penggubalan susulan perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara.

Cadangan itu akan terpakai bagi entiti korporat dan individu yang terlibat dalam kes rasuah yang menampilkan nilai yang dianggap "sangat besar", lapor New Straits Times yang memetik kenyataan Azam.

"Jika kita terus bimbang semata-mata tentang persepsi, bilakah kita akan menyelesaikan isu-isu ini? Menjadi tanggungjawab kami untuk meyakinkan anggota parlimen apabila DPA dibentangkan," tegasnya.

Dengan ruang budi bicara luas diberikan kepada peguam negara, sehingga boleh memutuskan NFA dalam kes penting–yang mahkamah memutuskan kes prima facie telah dibuktikan– pelanjutan perkara ini kepada budi bicara penyiasatan adalah sangat membimbangkan.

Satu-satunya pencegahan

Satu-satunya cara untuk mencegah penyalahgunaan kuasa sebegini oleh peguam negara adalah dengan melantik individu yang mempunyai integriti yang tidak dipersoal serta kompetensi yang terbukti serta tidak gentar untuk menjadi peguam negara, ketua SPRM, ketua polis negara dan semua agensi penguatkuasaan.

Tiga pelantikan utama ini mesti dibuat oleh sebuah suruhanjaya bebas yang anggotanya terdiri daripada ahli masyarakat yang dihormati, dengan majoritinya datang daripada masyarakat sivil, bukan mereka yang terikat dengan ahli politik. Dan mereka mesti melapor terus kepada Parlimen.

Pemecatan mereka mestilah dijadikan sangat sukar dan hanya atas dakwaan salah laku yang terbukti oleh suruhanjaya sama yang melantik mereka.

Kerajaan, selepas memisahkan kuasa peguam negara kepada dua jawatan berbeza — penasihat undang-undang dan pendakwa raya — boleh mempunyai kebebasan untuk melantik penasihat undang-undangnya sendiri.

Langkah itu akan memberi kekuatan kepada kebebasan badan kehakiman (termasuk penguatkuasaan), eksekutif dan perundangan, yang masing-masing memainkan peranan yang ditetapkan demi memastikan demokrasi berfungsi dengan betul dan adil mengikut undang-undang tanpa pengecualian, tanpa mengira kedudukan atau kekayaan mereka.

Jelas sekali, peguam negara semasa mahupun ketua SPRM bukanlah calon yang layak untuk jawatan ini, yang akhirnya menjadi refleksi kepada Anwar yang mesti memikul tanggungjawab atas pelantikan berterusan mereka meskipun terdapat keputusan meragukan dibuat oleh mereka.

Peguam negara tidak memberi jawapan memuaskan bagi NFA terhadap Ahmad Zahid. DNAA yang serupa telah berterusan dan dalam kes penting, yang keputusan di mahkamah rendah tidak menyebelahi pendakwaan, tiada rayuan dibuat ke mahkamah lebih tinggi. Cara lama melakukan sesuatu tetap kekal — tidak ada tanda-tanda reformasi.

Tempoh perkhidmatan Azam dilanjutkan tiga kali, walaupun Pakatan Harapan (PH) membuat janji untuk menyingkirkannya jika berkuasa. Dia pada 2015 berkata telah menemu bual penderma Arab yang memberikan RM2.6 bilion kepada Najib Razak. Najib dipenjarakan 15 tahun dan didenda lebih RM11 bilion atas kesalahan itu.

Timbul persoalan bagaimana Azam, yang ketika itu pengarah bahagian siasatan SPRM, semasa Najib menjadi PM, boleh melakukan kesilapan sedemikian, yang dalam proses itu membantu membersihkan Najib daripada salah laku.

Secara paradoks, Azam memuji penyiasat yang mengheret Najib ke muka pengadilan, dalam satu peralihan kesetiaan yang jelas selepas Najib kalah dalam pilihan raya 2018.

Tiada komitmen antirasuah

Rangkaian peristiwa ini menunjukkan keperluan kebebasan pelantikan semua individu yang terlibat dalam proses penguatkuasaan undang-undang. Namun ia juga menunjukkan tindakan perdana menteri, masa lalu dan sekarang, tidak menunjukkan komitmen untuk memerangi rasuah di semua peringkat.

Sehingga perubahan itu berlaku, segala usaha akan menjadi sia-sia dan penguatkuasaan undang-undang akan menjadi dua darjat — satu untuk rakyat biasa dan satu lagi untuk mereka yang mempunyai keistimewaan, kaya dan berkuasa.

Jika anda masih ragu-ragu tentang perkara itu, lihat bagaimana Najib dilayan di mahkamah, di penjara, semasa dalam perjalanan, apa yang dibenarkan untuk dia lakukan, bagaimana dia berpakaian, dan bagaimana dia tidak dicampurkan dengan penjenayah biasa di penjara, sedangkan dia juga salah seorang daripada mereka.

Anwar ketika menghadiri Perhimpunan Agung Umno pada 2023

Lihat Umno, di sebalik semua ini, masih melaungkan pengampunan untuknya, mengetepikan bukti yang tidak boleh disangkal terhadapnya dan besarnya jenayah yang dilakukan. Lihat Anwar yang tidak menentang Umno dan secara senyap akur dengan tingkah laku mereka.

Untuk sebarang perubahan menjadi bermakna, kerajaan Madani ini perlu beralih dan melakukan pusingan U daripada kembali kepada politik gaya Umno Baru dan sebaliknya melibatkan diri dalam reformasi politik dan ekonomi yang tulen.


P GUNASEGARAM berpendapat untuk menjayakan reformasi, mestilah ada perubahan yang bermakna.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS