Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AGC: Kurangkan pertuduhan pesalah rogol sebab isu bukti kes

Pertuduhan rogol terhadap penyerang seorang mangsa dikurangkan kepada kesalahan lebih ringan susulan isu berkaitan bukti yang tersedia dalam kes tersebut, menurut Jabatan Peguam Negara (AGC).

Merujuk percanggahan dalam keterangan mangsa serta dapatan laporan perubatan, Peguam Negara Dusuki Mokhtar berkata pemeriksaan menyeluruh ke atas semua bukti dalam kes itu telah dijalankan selepas peguam tertuduh mengemukakan surat representasi.

“Semakan AGC mendapati terdapat beberapa ketidakselarasan material dalam keterangan mangsa, yang boleh menjejaskan kebolehpercayaan dan kredibiliti mangsa, serta keseluruhan kes,” kata Dusuki kepada Malaysiakini.

“Walaupun satu laporan perubatan diperoleh, dapatan dalam laporan tersebut tidak menyokong kewujudan elemen kesalahan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan, dan justeru tidak dapat mengesahkan berlakunya rogol seperti didakwa.”

Dusuki menyatakan demikian sebagai maklum balas kepada laporan Malaysiakini yang memperincikan usaha ibu tunggal Loh Wai Mun untuk mendapatkan penjelasan daripada AGC selepas pertuduhan rogol terhadap penyerangnya diturunkan kepada kesalahan lebih ringan tanpa pengetahuannya.

Penyerang Loh, yang pada awalnya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan bagi kesalahan rogol, kemudian mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikurangkan dan difailkan di bawah Seksyen 354 kerana menyerang dengan niat mencabul kehormatan seseorang.

Seksyen 376 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan bagi kesalahan rogol. Sementara itu, individu yang disabitkan di bawah Seksyen 354 boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda, atau sebatan.

Hakim Syahliza Warnoh mensabitkan tertuduh dan mengenakan denda RM10,000 pada 23 Okt, susulan pindaan pertuduhan pada 6 Okt.

Mengulas pertuduhan yang dipinda itu, Dusuki menegaskan keputusan AGC dibuat selaras dengan prinsip undang-undang.

Secara khusus, dia merujuk keperluan pendakwaan berkaitan beban pembuktian yang perlu dipenuhi bagi mendapatkan sabitan di mahkamah.

“Keputusan yang diambil AGC tidak bertujuan menafikan pengalaman atau penderitaan mana-mana pihak.

“Ditegaskan AGC kekal komited memastikan setiap kes dikendalikan secara adil, telus dan menurut undang-undang,” tambahnya.

Serangan terhadap Loh, bekas pekerja dalam industri IT, berlaku pada 9 Jun, ketika dia menemani seorang bekas jiran ke pejabat lelaki itu, yang didakwa menahannya, memberinya dadah dan mencabulnya secara seksual.

Loh sebelum ini memberitahu Malaysiakini terdapat kelemahan serius dalam pengendalian kesnya oleh polis, bermula dengan tindakan seorang pegawai di kaunter hadapan balai polis Kota Damansara yang mengarahkannya pulang ke rumah dan mandi terlebih dahulu sebelum bertemu pegawai penyiasat.

Selain melahirkan rasa kecewa terhadap pemindahan kesnya daripada pegawai penyiasat wanita kepada pegawai lelaki tanpa sebarang notis awal, Loh mendakwa dia dilayan secara kasar dan tidak sensitif semasa lawatan ke lokasi kejadian.

Sehingga kini, dia masih tidak dimaklumkan mengenai analisis forensik ke atas pakaiannya serta pemeriksaan perubatan yang dijalankan. Dia juga tidak diberi tahu jika ujian DNA telah dilakukan terhadap bahan bukti yang diserahkan.

Kelmarin, penasihat DAP Lim Guan Eng menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said supaya campur tangan dalam rayuan Loh bagi mendapatkan penjelasan daripada AGC.

Ahli parlimen Bagan itu menegaskan kerajaan memikul tanggungjawab untuk memantau keselamatan wanita serta memastikan mangsa serangan seksual menerima keadilan yang sewajarnya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS