PAU 2025 | Presiden Umno hari ini mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas sebagai usaha parti itu mengembalikan perpaduan antara ahli dalam parti tersebut.
Menganggap Umno sebagai sebuah rumah, Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam organisasi itulah mereka "dilahirkan dan dibesarkan" sehingga mengenal makna perjuangan.
"Justeru, bagi menyambut kembali kepulangan saudara-saudara kita, adik-beradik kita, ahli keluarga kita, sebuah Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa akan ditubuhkan bagi menerima kemasukan atau penyertaan semula mana-mana pihak, baik secara individu atau secara en bloc ke 'Rumah Bangsa' ini," katanya.
Ahmad Zahid mengumumkan rancangan itu semasa menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Umno 2025 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia KL.
Seramai 6,412 perwakilan yang membabitkan bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri Umno hadir dalam persidangan kali ini.
Kenyataan Ahmad Zahid itu dibuat ketika beberapa tokoh kanan politik yang dipecat atau menjarakkan diri dari Umno mula dilihat kembali mendepati parti berkenaan. Antaranya bekas Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin, yang dipecat kira-kira dua tahun lalu.
Gesaan daripada pelbagai pihak agar individu yang tidak lagi bersama Umno kembali menyertai parti tersebut turut disuarakan beberapa kali.
“Untuk itu,” tambah Ahmad Zahid, “pintu Rumah Bangsa ini sentiasa terbuka luas.”
Ahli bersemangat setia
Antara ahli politik kanan yang kini tidak bersama lagi dengan Umno ialah bekas setiausaha agung parti itu, Annuar Musa, bekas menteri dan anggota kabinet Noh Omar dan beberapa pemimpin kanan semasa Bersatu.
Bekas anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno, Tajuddin Abdul Rahman, pula pernah digantung keanggotaannya pada Jun 2022 kerana mengkritik kepimpinan parti.
Dia yang pernah menjadi timbalan menteri dan Ahli Parlimen Pasir Salak bagaimanapun diterima semula sebagai anggota Umno apabila penggantungan tersebut ditarik balik pada 25 Nov 2024.
Sebelum itu Tajuddin menghadirkan dirinya di PAU tahun tersebut dan berpelukan dengan Ahmad Zahid.

Dalam ucapannya hari ini, Ahmad Zahid menegaskan perjuangan parti itu dibina melalui proses panjang yang penuh ujian, namun kesetiaan ahlinya kekal utuh meskipun berdepan tekanan dan cabaran berterusan.
Menurutnya, sepanjang lebih lapan dekad kewujudan Umno, parti itu melalui pelbagai episod jatuh bangun termasuk berkaitan salah faham', kecederaan politik' dan ujian kepercayaan.
"Namun satu yang tidak pernah goyah ialah semangat setia para ahlinya,” kata timbalan perdana menteri itu.
Tambah Ahmad Zahid lagi, selagi wujud keperluan untuk membela anak bangsa serta mempertahankan maruah Melayu dan Islam, Umno akan terus memainkan peranan tersebut.
Bagaimanapun, dia mengakui usaha parti itu untuk menggerakkan agenda penyatuan berdepan cabaran besar, termasuk apabila berlaku episod pengkhianatan serta sentimen penolakan dalam kalangan sebahagian orang Melayu terhadap keberadaan Umno dalam kerajaan perpaduan.
Bukan tambah perpecahan
Pun begitu, Ahmad Zahid memberitahu, cabaran tersebut perlu ditangani secara berhikmah bagi memastikan kelangsungan peranan Umno sebagai wadah perjuangan politik Melayu dan Islam dalam landskap politik negara yang semakin kompleks.
Mengulas peranan Umno sebagai Rumah Bangsa, dia berkata, percubaan membentuk “payung besar” politik Melayu tanpa Umno sebelum ini terbukti gagal.
Katanya Umno kekal sebagai 'rumah asal' politik Melayu yang menjaga keseimbangan dan keharmonian negara.
Zahid turut mengimbas sejarah kelahiran pelbagai parti politik Melayu yang menurutnya berkongsi akar dan roh kenegaraan yang sama, serta menyeru agar perpecahan politik Melayu ditangani secara berhikmah.
“Umno bukan parti lima tahun pilihan raya. Umno adalah parti lapan dekad peradaban. Benteng kepada kesinambungan dan kestabilan negara memikul tanggungjawab memimpin wacana penyatuan, penyelesaian dan masa hadapan.
“Sebab itulah, meskipun ditekan dan dihimpit dari segenap penjuru, Umno tetap berdiri teguh membela ummah.
"Selagi Umno setia kepada prinsip ini, maka selagi itulah Umno akan kekal sebagai rumah besar bangsa Melayu. Tempat kita kembali membina kekuatan, bukan lagi menambah episod perpecahan.” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid turut menggariskan pelan pemugaran upaya politik Umno yang antara lain bertujuan memulihkan keyakinan orang Melayu terhadap parti itu.

Menurutnya, usaha tersebut akan dimulakan dengan membetulkan naratif Umno di mata rakyat bagi memperbaiki persepsi, memulihkan kredibiliti serta menampilkan Umno sebagai wadah perjuangan Melayu yang relevan dan berwibawa.
Sebagai sebahagian daripada langkah itu, dia memberitahu, Umno akan menganjurkan Musyawarah Nasional bagi membincangkan agenda politik Melayu dengan melibatkan pertubuhan masyarakat sivil, pakar, ahli akademik dan golongan profesional Melayu.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata Umno juga perlu menilai semula bentuk kerjasama politik sedia ada sejajar dengan perubahan landskap politik dan tuntutan generasi muda.
Menurut Ahmad Zahid, BN yang berusia lebih 50 tahun perlu diberi nafas baru agar kekal relevan dengan keperluan semasa.
“Untuk itu, Umno mencadangkan satu proses penjenamaan semula yang menyeluruh bagi menghadapi PRU ke-16,” katanya.
Laporan oleh Shakira Buang, Haspaizi Zain, dan Alyaa Alhadjri
