Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
JPJ Perak mula guna kamera badan secara rintis

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak mula melaksanakan penggunaan kamera badan atau body worn camera (BWC) secara rintis bagi merakam interaksi anggota penguat kuasa dengan pengguna jalan raya sebagai langkah memperkukuh integriti, ketelusan dan keselamatan semasa operasi penguatkuasaan.

Timbalan Pengarah JPJ Perak Mohd Azmi Jaafar berkata sebanyak 14 unit BWC telah diterima setakat ini, dengan lapan unit ditempatkan di JPJ Ipoh, empat di JPJ Cawangan Taiping, manakala baki dua unit ditempatkan di stesen penguatkuasaan Kuala Kangsar.

"Penggunaan peranti ini bermula pada November tahun lepas setelah edaran dibuat oleh ibu pejabat, dan merupakan fasa perintis sebelum diperluas secara menyeluruh selepas ini.

“Penggunaan BWC ini bertujuan merakam semua interaksi antara anggota penguat kuasa dengan pengguna jalan raya. Rakaman ini bukan sahaja untuk melindungi hak pengguna, malah melindungi anggota penguat kuasa daripada salah faham, tuduhan tidak berasas serta dakwaan salah laku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melaksanakan Operasi Khas Sembilan Kesalahan Utama di Jalan Kuala Kangsar–Jalan Sultan Azlan Shah, di Ipoh hari ini.

Mohd Azmi berkata rakaman BWC dipantau secara masa nyata oleh pasukan pemantau di ibu pejabat dan sebarang aduan melibatkan pengguna jalan raya akan diberi perhatian serta respons segera mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Peranti terbabit tidak boleh dimatikan sewenang-wenangnya oleh anggota bertugas dan hanya boleh ditutup selepas tamat tugas atau dalam situasi tertentu melibatkan kawasan sensitif mengikut SOP.

“Sekiranya peranti dimatikan tanpa sebab munasabah, sistem pemantauan di ibu pejabat akan mengesan perkara itu,” katanya.

Beliau berkata penggunaan BWC tidak terhad kepada operasi sekatan jalan raya semata-mata, sebaliknya turut melibatkan anggota penguat kuasa di kaunter JPJ, tapak pengujian kenderaan serta institut memandu bagi memantau interaksi dengan pelanggan dan calon ujian.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS