Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man beranggapan pandangan dilontarkan Yang Dipertua PAS Kawasan Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad, mengenai peluang parti itu dalam PRU akan datang sebagai tersasar dari realiti.
Sekali gus dia menolak dakwaan bahawa menggantikan Muhyiddin Yassin dengan Ahmad Samsuri Mokhtar daripada PAS sebagai Pengerusi PN akan menyebabkan kerugian besar kepada parti.
Menyangkal hujah Zaharudin dan membuktikan kemampuan Ahmad Samsuri, Tuan Ibrahim berkata, Naib Presiden PAS itu berjaya mencatat rekod kemenangan besar negeri Terengganu apabila PN memenangi kesemua kerusi DUN dan Parlimen pada PRU ke-15.
"Saya rasa pandangan peribadinya (Zaharudin) itu tersasar daripada apa yang realiti. Dr Samsuri menerajui kerajaan Terengganu, sebelum ini pencapaian tak pernah kita lihat rekod PAS sebagaimana negeri lain, Terengganu 40-0.
"Kalau dengan sebab dia pegang (PN) maka kita merosot, saya rasa tidak (seperti) realiti yang berlaku.
"Kita tengok pencapaian kerajaan Terengganu zaman beliau dan bersama PAS Terengganu berjaya (menang) di semua kerusi DUN dan Parlimen, ini pencapaian yang hebat," katanya dalam satu perkongsian video di Facebook, hari ini.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata demikian ketika ditanya media berhubung kenyataan Zaharudin yang juga menantu Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Terdahulu Zaharudin memberi amaran bahawa menaikkan Menteri Besar Terengganu itu sebagai Pengerusi PN boleh menyebabkan PAS kehilangan sehingga 37 kerusi parlimen.
Dakwa Zaharudin, dapatan itu dibuat berdasarkan data serta analisis dalaman.
Walaupun tidak mendedahkan perincian dakwaannya, Zaharudin berkata unjuran itu dibuat berdasarkan tiga senario dan syarat tertentu yang tidak dapat didedahkan secara terbuka.
Zaharudin menambah risiko berkenaan tidak diberi perhatian secukupnya di sebalik keterujaan sesetengah pihak untuk melihat PAS - atau secara khusus Ahmad Samsuri - mengambil alih kepimpinan gabungan itu.
Tuan Ibrahim menegaskan apa yang diperkatakan Zaharudin itu hanya pendapat peribadi, justeru bukan mewakili PAS.
"Kita semua bebas untuk beri pandangan masing-masing.
"Apa yang penting ialah komitmen pengukuhan PN. Apabila pimpinan tertinggi setiap parti dah buat keputusan, kita dukung keputusan tersebut. Kita perkukuhkan PN untuk hadapi PRU ke-16," katanya.
