Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Giliran Hadi, Tuan Ibrahim pula temui Muhyiddin
Diterbitkan:  Jan 16, 2026 7:33 PM
Dikemaskini: 11:42 AM

Ketika tanda tanya siapa yang akhirnya mengepalai PN selepas Muhyiddin Yassin belum terjawab, pemimpin tertinggi PAS dan Bersatu mengadakan pertemuan sekali lagi.

Lebih menarik kali ini ia melibatkan presiden masing-masing, iaitu Abdul Hadi Awang (PAS) dan Muhyiddin Yassin (Bersatu).

Turut hadir, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, dan setiausaha agung kedua-dua parti terbabit Azmin Ali dan Takiyuddin Hassan.

Pertemuan yang kelihatan mesra itu berlangsung lebih seminggu selepas Abdul Hadi menulis surat – dan memaparkannya secara terbuka – menggesa PN memanggil mesyuarat majlis tertinggi tergempar bagi membincangkan kedudukan Muhyiddin.

Bagaimanapun setakat ini tiada butiran lanjut mengenai pertemuan tersebut – yang berlangsung di kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara – kecuali tiga keping gambar yang memaparkan keceriaan pada wajah masing-masing.

“Alhamdulillah. Kami berbincang dan bersepakat untuk mengukuhkan PN,” tulis Muhyiddin.

Tuan Ibrahim pula mencatat yang mereka sependapat untuk memperkukuhkan PN.

“Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Insya-Allah sepakat membawa berkat,” tulisnya.

Untuk rekod ia adalah pertemuan signifikan yang berlangsung sejak hubungan PAS dan Bersatu tegang ekoran pertukaran penyandang jawatan Menteri Besar Perlis baru-baru ini.

Sebelum ini Naib Presiden PAS merangkap Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar, terlebih dulu mengadakan mengadakan pertemuan dengan Presiden Bersatu itu.

Ia berlangsung pada 6 Jan lalu di lokasi sama.

Kemudian diikuti pertemuan di antara Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, lima hari kemudian. Pertemuan itu – yang terpapar di media sosial – diiringi dengan kapsyen “Insya-Allah, alhamdulillah.”

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, megadakan pertemuan dengan Presiden Bersatu itu

Pengunduran Muhyiddin menyusul selepas PAS menzahirkan kemarahan ekoran krisis politik yang melanda Perlis.

Ia menyaksikan anggota Jawatankuasa PAS Pusat Mohd Shukri Ramli, terpaksa melepaskan jawatan menteri besar selepas tidak lagi mendapat keyakinan majoriti Adun untuk menjadi pemimpin negeri.

Mohd Shukri Ramli

Tempat Mohd Shukri digantikan oleh Pengerusi PN Perlis yang juga Adun Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah.

Ia juga menyaksikan jumlah menteri besar dari PAS menyusut daripada empat kepada tiga.

PAS kemudian menyatakan kesediaan mereka mengetuai PN daripada Bersatu.

Untuk rekod, Ahmad Samsuri adalah antara nama yang disebut-sebut sebagai calon yang terbaik dari PAS untuk mengetuai PN. Dia juga pernah menjadi Bendahari Agung PN sebelum meletak jawatan, namun alasan sebenar di sebalik tindakannya itu tidak dinyatakan.

Pun begitu ia terjadi tidak lama selepas Muhyiddin melantik Azmin sebagai Setiausaha Agung PN yang dikosongkan Hamzah Zainudin. Sebelum itu PAS meminta agar tempat Hamzah diisi oleh Takiyuddin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS