Polis menahan wartawan Rex Tan selepas dia mengemukakan satu soalan yang didakwa mengandungi unsur perkauman semasa satu syarahan awam di Kuala Lumpur yang menampilkan ahli politik United Kingdom, George Galloway, bertajuk “Gaza Exposes the Complicity of International Actors”.
Tan yang meletakkan jawatan daripada portal berita FMT semalam, ditahan selepas tengah malam ini setelah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Peguamnya, Rajsurian Pillai mengesahkan bahawa Tan ditahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
Malaysiakini difahamkan siasatan kes Tan dikendalikan pasukan polis Bukit Aman.
Selepas menerima kecaman meluas, Tan memohon maaf kerana mengemukakan soalan tersebut, yang disifatkannya sebagai “dirangka dengan kurang tepat” dan gagal “menilai relevansinya dengan acara ini, serta kerana menanyakan soalan itu tanpa mengambil kira sensitiviti topik."
“Yang paling penting, saya amat menyesal kerana menyebut kaum Cina dan Melayu, yang sepatutnya langsung tidak disebut sama sekali,” tambahnya.
Tan, yang mengakui dia telah gagal memenuhi tahap profesionalisme yang diharapkan daripadanya sebagai seorang wartawan.
"Saya berharap orang ramai tidak mengkritik FMT Media secara keterlaluan atau, lebih teruk, menyerang keluarga dan insan tersayang saya.
"Saya juga berharap orang ramai memahami bahawa soalan saya tidak menggunakan istilah ‘apartheid’ atau membandingkan keadaan masyarakat Cina Malaysia kini dengan situasi Palestin. Saya telah menjelaskan perkara ini semasa peluang bercakap kedua, apabila saya menyatakan: ‘Saya tidak membandingkan keadaan masyarakat Cina Malaysia sekarang dengan Palestin. Ia tidak tergambar,’” jelasnya.
Mengulas penahanan itu, Timbalan Pengerusi Majlis Media Malaysia, Premesh Chandran (gambar bawah) berkata walaupun Tan telah melakukan kesilapan namun tindakan menahan seorang wartawan merupakan langkah yang “keterlaluan dan bersifat menghukum”.

“Beliau sudah bersedia untuk bekerjasama dalam siasatan, penahanan tidak diperlukan,” katanya.
Sebelum itu, majlis media tersebut mengecam tindakan pendedahan maklumat peribadi, gangguan dan intimidasi terhadap wartawan susulan reaksi balas terhadap Tan.
FMT turut mengeluarkan permohonan maaf dengan menyatakan pihaknya tidak menyedari niat wartawan berkenaan untuk mengemukakan soalan tersebut dan tidak menyokong kenyataannya.
