Bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim, mengkritik tindakan pihak polis menahan wartawan Rex Tan di bawah Akta Hasutan, dan menyifatkannya sebagai penguatkuasaan terpilih apabila seorang ahli parlimen PAS sebelum ini tidak dikenakan sebarang tindakan atas kesalahan sama.
Zaid berkata, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary pada Oktober tahun lalu menyiarkan hantaran di Facebook bertajuk ““Belajar Dari Sejarah Palestin: Jangan Kita Ulangi Kesilapan Yang Sama”, yang menggambarkan rakyat Malaysia bukan Islam dan bukan bumiputera sebagai ancaman kepada kepentingan Melayu-Islam.
"Ini adalah hipokrasi. Amanah berkeras supaya Marzuk disiasat tetapi tiada siasatan dijalankan. Namun polis sangat pantas terhadap Tan," katanya kepada Malaysiakini.
Dalam hantaran itu, Ahmad Marzuk mendakwa rakyat Palestin menerima pendatang Yahudi atas alasan kemanusiaan namun kemudian menjadi mangsa penindasan dan diusir dari tanah air mereka.
Dia turut mendakwa bahawa tanda-tanda serupa kini muncul di Malaysia, dengan sektor ekonomi semakin dikuasai oleh bukan Islam dan bukan bumiputera, termasuk pemilikan kedai runcit besar, syarikat utama dan hartanah strategik.
Mengulas lanjut mengenai kes Tan, Zaid berkata penahanan wartawan itu kerana mengemukakan soalan yang “bodoh dan tidak sensitif” mengenai hubungan kaum semasa ceramah adalah tindak balas yang keterlaluan.
"Dia sememangnya tidak berfikir panjang ketika mengemukakan soalan itu… Tetap dia bukan seorang penghasut perkauman atau seseorang yang membuat ucapan panjang untuk menghasut. Kenyataannya, walaupun mengecewakan ramai penonton, tidak mungkin menyebabkan kekacauan awam atau ketegangan kaum," tambahnya.
Tan, yang meletak jawatan dari Free Malaysia Today (FMT) semalam, mengemukakan soalan yang dikatakan mengandungi nada perkauman semasa ceramah di Kuala Lumpur yang menampilkan ahli politik UK, George Galloway, bertajuk “Gaza Exposes the Complicity of International Actors”.
Dia ditahan lewat malam tadi selepas dipanggil ke ibu pejabat polis Dang Wangi dan kini disiasat di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan.
