Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP DAP: Wartawan ditahan tapi ahli politik dikait rasuah berjuta bebas
Diterbitkan:  Jan 17, 2026 1:03 PM
Dikemaskini: 5:03 AM

Ahli parlimen DAP, Lim Lip Eng menggesa pembebasan segera bekas wartawan Free Malaysia Today (FMT), Rex Tan, memberi amaran bahawa tindakan pihak berkuasa menimbulkan persoalan serius tentang ketelusan dan keadilan dalam penguatkuasaan undang-undang.

Ahli Parlimen Kepong itu menyatakan bahawa ramai ahli politik yang membuat kenyataan berunsur perkauman atau sensitif tidak pernah ditahan, walaupun terdapat banyak laporan polis yang difailkan terhadap mereka.

“Malah, terdapat juga ahli politik yang dikaitkan dengan skandal rasuah sehingga melibatkan rampasan wang berjumlah berbilion ringgit daripada bekas pegawainya, namun masih bebas tanpa sebarang penahanan.

"Mengapa layanan berbeza dikenakan terhadap Tan? Adakah undang-undang hanya tegas terhadap individu tertentu tetapi longgar terhadap mereka yang berpengaruh?” soalnya dalam catatan Facebook.

Lim menekankan bahawa penguatkuasaan undang-undang tidak boleh digunakan sebagai alat untuk hukuman terpilih, kerana ia menjejaskan prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang.

"Tan telah memohon maaf secara terbuka, mengakui kesilapannya, menzahirkan penyesalan serta menyatakan kesediaan penuh untuk memberikan kerjasama kepada pihak polis.

"Dalam keadaan ini, tindakan menahannya selepas tengah malam, setelah beliau dipanggil hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, adalah bersifat menekan dan represif,” tambahnya.

Wartawan itu ditahan berhubung soalan yang diajukannya semasa forum awam mengenai konflik Gaza yang menampilkan ahli politik UK George Galloway, yang dikatakan membawa unsur perkauman.

Bekas ahli parlimen DAP Charles Santiago juga mengkritik penangkapan itu, dengan menyatakan bahawa bertanya soalan yang buruk bukanlah jenayah dan menangkap seseorang kerana menanyakannya adalah pelanggaran kebebasan bersuara yang jelas.

“Kita boleh menolak perbandingan salah antara diskriminasi, perkauman dan pembunuhan beramai-ramai di Gaza. Dan masih mempertahankan hak Tan untuk bersuara tanpa rasa takut ditangkap. Perlindungan kebebasan bersuara wujud untuk ucapan atau soalan yang tidak selesa dan jahil,” katanya di X.

Charles memberi amaran bahawa batas berbahaya akan dilangkau jika penangkapan menjadi tindak balas kepada soalan politik yang buruk, kerana ia akan mengundang penyalahgunaan kuasa negara.

"Cabar dan bantah idea dengan bersungguh-sungguh, tetapi jangan jadikan kebebasan bersuara sebagai jenayah. Ancaman dan gangguan terhadap Tan tidak boleh diterima, tidak kira betapa mengelirukan soalannya. Ia tidak boleh menjadi lesen untuk menghukum orang ramai," tambahnya.

Walau bagaimanapun, Ketua Penerangan Pemuda PAS, Khairul Nadzir Helmi, menyokong siasatan polis terhadap Tan atas alasan keselamatan awam.

"Pemuda PAS mengambil maklum bahawa Rex Tan telah mengeluarkan permohonan maaf secara rasmi. Dari sudut moral individu, permohonan maaf itu mungkin boleh diterima sebagai tanda tanggungjawab peribadi.

"Namun, dalam konteks keselamatan awam dan kedaulatan perpaduan negara, isu ini tidak boleh ditutup hanya dengan sebuah 'maaf', kerana kesannya telah pun tersebar luas di media sosial dan berpotensi menular sebagai faham songsang dalam kalangan masyarakat,” tambahnya.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim membandingkan kes Tan dengan seruan agar Ahli Parlimen PAS Ahmad Marzuk Shaary disiasat berhubung catatan Facebook bertajuk ‘Belajar daripada sejarah Palestin: Janganlah kita ulangi kesilapan yang sama’, yang menggambarkan warganegara bukan Islam dan bukan bumiputera Malaysia sebagai ancaman kepada kepentingan Melayu-Islam.

Menyifatkan penangkapan wartawan itu di bawah Akta Hasutan sebagai berlebihan, Zaid berkata ia menonjolkan “kemunafikan” pihak berkuasa.

Tan juga sedang disiasat di bawah Kanun Keseksaan atas kenyataan yang dibuat dengan niat untuk menyebabkan kegentaran awam serta Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS