Majlis Media Malaysia menggesa pembebasan segera bekas wartawan Free Malaysia Today, Rex Tan sambil memberi amaran bahawa pendekatan pihak berkuasa yang keras dan menghukum mempunyai kesan terhadap media dan perbincangan awam.
Majlis itu berkata penahanan Tan memberi gambaran kurang baik terhadap kerajaan yang telah berulang kali berikrar untuk menegakkan kebebasan bersuara dan kebebasan media.
"Majlis Media Malaysia menyeru supaya Rex Tan dibebaskan segera.
"Kami menggesa pihak polis dan kerajaan untuk tidak terburu-buru, mengambil pendekatan yang lebih bersesuaian dan adil untuk mengatasi perkara sebegini, dan tidak mengambil tindakan yang boleh menggugat profesion kewartawanan, kebebasan akhbar, serta keselamatan para wartawan dan pengamal media," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Majlis itu menyatakan bahawa Tan, yang ditahan kerana mengemukakan soalan yang dilaporkan membawa unsur perkauman semasa forum awam, telah memohon maaf dan meletak jawatan daripada portal Free Malaysia Today untuk bertanggungjawab atas tindakannya.
"Dalam konteks ini, penahanan dan penangkapannya kelihatan seperti tidak perlu dan sebaliknya bersifat menghukum," kata majlis itu sambil menyorot kesediaan Tan untuk memberikan kerjasama penuh dengan siasatan polis yang sedang berlangsung.
Majlis Media menambah bahawa kes ini menimbulkan persoalan berkenaan risiko yang dihadapi oleh pengamal media.
"Adakah seorang wartawan boleh dikira sebagai telah melakukan tindakan menghasut atau mengganggu ketenteraman awam hanya dengan bertanya soalan dalam sebuah forum awam?
"Kejadian seperti ini mendedahkan risiko kerjaya dan undang-undang yang dihadapi oleh wartawan di Malaysia, termasuklah kemungkinan disiasat, ditahan, dan pelbagai bentuk hukuman lain, dalam melunaskan tanggungjawab kewartawanannya.
"Risiko sebegini boleh menimbulkan tekanan psikologi dan profesional yang teruk dan menggugat kebolehan seorang wartawan untuk bekerja dengan bebas dan selamat," katanya.
Tan, yang ditangkap tengah malam semalam, dijangka dibebaskan hari ini.
Wartawan itu sedang disiasat di bawah Akta Hasutan, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.
