Nota editor: Laporan ini dikemas kini untuk mencerminkan kenyataan pindaan yang dibuat Presiden Gerakan.
Presiden Gerakan, Dominic Lau, hari ini berkata parti itu berikrar untuk menyokong penuh kepimpinan dan hala tuju kolektif PN.
Dalam satu kenyataan susulan mesyuarat pertama parti itu tahun ini, Lau berkata mesyuarat memberi tumpuan kepada persediaan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan pilihan raya negeri atau PRU.
Mesyuarat itu juga, katanya, menilai secara objektif kekuatan dan kelemahan parti bagi memastikan ia kekal relevan, berdaya saing, dan terus mewakili suara rakyat.
"Berkenaan jawatan Pengerusi PN, keputusan rasmi akan diumumkan dalam masa terdekat. Bagaimanapun, tanpa mengira keputusannya, Gerakan akan memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan dan hala tuju kolektif PN.
"Gerakan juga ingin menekankan bahawa keutamaan parti ialah kebajikan rakyat dan masa depan negara berbanding terlibat dalam pertikaian politik antara Umno dan DAP yang tidak memberi manfaat kepada orang ramai," tambahnya.
Semalam, bekas Pengerusi PN dan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, berkata dia bersama Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, berikrar untuk memperkukuhkan gabungan pembangkang.
Muhyiddin berkata komitmen itu dicapai semasa pertemuan dia dengan Abdul Hadi, yang turut dihadiri oleh Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, dan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan.
Namun dalam Facebook itu tidak dinyatakan kedudukan Muhyiddin serta jika sudah ada mana-mana pemimpin dipersetujui dipilih untuk mengepalai PN.
Lau turut mengesahkan semula komitmen Gerakan untuk terus membantu menyelesaikan sebarang isu dalaman PN dengan cara yang matang dan berhemah berdasarkan semangat konsensus dan kepentingan jangka panjang gabungan itu.
Selain Bersatu, PAS, dan Gerakan, pakatan pembangkang persekutuan juga terdiri daripada Parti Rakyat India Malaysia.
Dalam kenyataannya, Lau berkata perbincangan dengan parti komponen PN mengenai peruntukan kerusi untuk pilihan raya negeri Melaka yang akan datang juga dijalankan secara konstruktif.
