Paling Popular
Terkini
1

PAU 2025 | Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menyifatkan dirinya sebagai "budak nakal" yang sayangkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, ramai yang beranggapan bahawa dia tidak sehaluan dengan presiden parti, namun hakikatnya tidak begitu.

"Ramai yang cakap saya ni tak sehaluan dengan Datuk Seri presiden, tapi saya nak bagi tahu anak yang paling nakal anak yang paling sayangkan ayahnya.

"Kerana dia tak sanggup melihat ayahnya (presiden) ditipu dan dimomokan dengan perkara tidak betul.

"Tak apa saya tak ada kepentingan...(tapi) Umno ini perlu bangkit kembali, perlu berada di persadanya itu sahaja," katanya ketika menggulung ucapan Perhimpunan Agung Umno 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Adun Merlimau itu dilihat "tidak sehaluan" dengan Zahid disebabkan beberapa tindakannya sebelum ini.

Untuk rekod, konvensyen khas Pemuda Umno sebelum ini menggesa supaya parti itu keluar daripada kerajaan perpaduan.

Bagaimanapun Zahid menegaskan Umno akan kekal dalam kerajaan perpaduan sehingga PRU-16.

30 peratus penyertaan Wanita Umno

Sementara itu Ketua Wanita Umno, Noraini Ahmad dalam ucapan penggulungannya pula memberi penekanan agar 30 peratus penyertaan wanita dalam kempimpinan parti.

Menurutnya, perkara itu bukan rayuan emosi dan retorik persidangan tetapi langkah strategik memartabatkan wanita.

"Ia perlu bermula dari dalam parti kita sendiri. Wanita Umno menekankan peri pentingnya Umno menetapkan sasaran minima 30 peratus ini secara berperingkat, terancang dan yang paling penting diikat secara rasmi dalam perlembagaan parti," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS