PAU 2025 | Naib Presiden Umno Khaled Nordin menyatakan pihaknya menyedari terhakisnya kepercayaan rakyat terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) susulan berlakunya siasatan dan penahanan pegawai berhubung kes penyelewengan, salah guna kuasa, rasuah dan budaya hedonisme.
Namun tegas menteri pertahanan itu, Umno bertekad bahawa mereka akan memulihkan semula kepercayaan bangsa dan negara terhadap pasukan tulang belakang keselamatan negara itu.
"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk tegaskan beberapa perkara kepada insiden ini, pertama saya mohon sokongan semua mewakili Umno kita bertekad menegaskan bahawa kita akan pulihkan balik kepercayaan bangsa dan negara terhadap ATM.
"Antaranya melalui usaha membateras rasuah dan segala kecurangan kuasa yang terdapat dalam ATM. Sesiapa yang bersalah kita akan pastikan mereka diheret ke muka pengadilan dan dihukm sekeras-kerasnya.
"Mereka yang mencemarkan ATM bukan cerminan akhlak dan kewibawaan ATM, masih ada ratusan ribu anggota ATM di luar sana yang berintegriti dan ikhlas berkhidmat dan sedia berkorban jiwa dan raga.
"Jadi kepada rakyat sekalian, tolonglah berlaku adil dan munasabah terhadap ATM, jangan kerana nila setitik habis rosak susu sebelanga, janganlah hanya segelintir sahaja, semuanya dalam ATM dianggap sebegitu dan dipandang serong," katanya dalam ucapan penggulungan PAU 2025 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, hari ini.
Rayu sokongan orang Melayu
Sementara itu Khaled turut mengambil kesempatan merayu kepada orang Umno supaya kembali memberi kepercayaan kepada parti itu.
Jelasnya, masa depan dan kepentingan orang Melayu di Malaysia yang semakin moden ini, hanya boleh terjamin jika menyokong politik yang sederhana, pragmatik dan strategik serta mempertahankan perlembagaan negara.
"Maknanya, politik yang beremosi dan terlalu dramatik itu tidak akan membawa orang Melayu ke mana-mana, dewasa ini sentimen dan persepsi telah menjadi politik arus perdana atas alasan kononnya demi perjuangan Melayu dan Islam. Bukannya data, bukannya keberhasilan, bukannya pencapaian yang diakui yang terbit dari kerja keras parti dan juga kerajaan.
"Sentimen dan persepsi ini pula dieksploitasi dan dipolitikkan sehingga semuanya dikaitkan dengan kaum dan agama dalam semua perkara yang melibatkan Melayu, Bumiputera dan agama Islam. Uumno telah usahakan sebaik mungkin walaupun Umno bukan nahkoda pentadbiran kerajaan perpaduan hari ini.
"Orang Melayu wajarlah lebih munasabah, lebih pragmatik dan lebih berimbang dalam penilaiannya terhadap Umno dan kerajaan perpaduan. Orang Melayu jangan menyandarkan masa depan Malaysia dan kaum Melayu dengan emosi dan juga ketaasuban," tegasanya.
Justeru Ahli Parlimen Kota Tinggi itu menyeru supaya rakyat menilai Umno secara rasional, tanpa dorongan perasaan marah, buruk sangka dan kebencian yang berterusan.
Ini kerana kata Khaled, orang Melayu wajar terus meyakini bahawa Umno adalah wakil politik sebenar mereka yang telah membuktikannya dari sebelum kemerdekaan sehingga Malaysia yang hari ini.
"Semuanya terbit dari pencerahan dan juga pengorbanan Umno, benar Umno ada ketikanya hilang, ada ketikanya tersasar. Langit mana yang tidak gelap, mendung dan tiada suramnya, tetapi cukuplah hukuman orang Melayu terhadap umno.
"Kepada semua orang Melayu, teruslah percaya pada Umno kerana hanya dengan kepercayaan anda Umno akan pulih dan menjadi parti Melayu yang kuat, hanya dengan kepercayaan orang Melayu, Umno akan terus menjadi wakil berkesan dalam percaturan politik Malaysia. Hanya dengan orang melayu mempercayai Umno kita akan dapat berprestasi dengan baik dalam kerajaan," katanya.
Khaled turut menegaskan parti itu tidak akan menjadi boneka politik sesiapa, justeru perlu disokong supaya mandiri sebagai entiti politik Melayu dan Malaysia supaya Umno dapat membangun kekuatan sendiri dan berdiri di atas kaki sendiri.
"Insya-Allah dengan kepercayaan bangsa Melayu umno akan menjadi parti dominan semula atau sekurang-kurangnya menjadi king maker atau pemain yang akan mengubah rentak permainan dalam poltik malaysia.
"Maknanya kita akan menjadi rakan politik yang strategik dalam apa jua keadaan sekali pun, kita perlu pastikan tiada parti yang boleh tubuh kerajaan tanpa Umno sebahagian darinya dan sesiapa saja akan memerlukan Umno untuk mengurus Malaysia," katanya.
