Umno mendesak supaya Kementerian Pendidikan mengembalikan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Zambry Abd Kadir yang juga menteri pendidikan tinggi akan membawa mandat perwakilian Perhimpunan Agung Umno berhubung perkara itu.
"Umno mahu peperiksaan ini diadakan semula oleh KPM (Kementerian Pendidikan).
"Saya mahu sokongan daripada para perwakilan supaya perkara ini diterapkan dalam Majlis Peperiksaan Negara," katanya ketika sesi penggulangan Perhimpunan Agung Umno 2025 hari ini.
UPSR dimansuhkan pada 2021, manakala PT3 dimansuhkan pada 2022, sebelum kedua-duanya digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah.
Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan kini sedang mengkaji keperluan pelaksanaan semula UPSR dan PT3 yang hasilnya akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
Pada 12 Jan lalu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata semua pihak diminta memberi sedikit masa kepada kementerian untuk melaksanakan kajian berkenaan, yang turut mengambil kira pandangan pemegang taruh, khususnya ibu bapa.
Sementara itu, Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menyatakan bahawa Umno mencadangkan agar kerajaan mewujudkan akta perlindungan guru di negara ini bagi memastikan warga pendidik dilindungi ketika melaksanakan disiplin terhadap pelajar.
“Ini juga berkaitan beban tugas dan kebajikan guru-guru, kerana pada zaman dahulu, kalau murid kena rotan dengan guru, balik rumah, bila anak-anak mengadu kepada ibu bapa, mereka ditambah lagi rotan, berbeza dengan sekarang.
“Sekarang, bila anak-anak mengadu kena rotan dengan guru, ibu bapa akan datang ke sekolah, tanya di mana guru yang merotan anak mereka, malah ada yang marah atau membuat laporan,” katanya.
