Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mat Hasan: Umno perlu kekal dalam kerajaan untuk elak PH 1.0

PAU2025 | Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, berkata keputusan parti itu untuk kekal dalam Kerajaan Perpaduan merupakan strategi bagi mengelakkan berulangnya 'Pakatan Harapan 1.0'.

Menurut menteri luar itu, sesetengah pihak tidak berpuas hati apabila Umno berada dalam kerajaan dan cuba menekan parti itu supaya keluar daripada kerajaan.

"Ada pihak yang rasa amat sakit hati, merasakan keberadaan Umno dalam kerajaan hari ni adalah duri dalam daging kepada mereka.

"Kerana apa? Kerana kita telah bantah apa mereka nak buat. Kalau Umno tak setuju dalam kabinet, maka kabinet tak dapat persetujuan. Ini yang mereka rasa amat sakit hati dan apatah lagi apabila mereka kalah tanpa menang satu pun kerusi di Sabah.

"Jadi berbagai usaha dibuat untuk memarahkan, menaikkan emosi kita dengan harapan, ye la kadang-kadang orang Umno ni cepat marah, cepat melenting, orang Melayu ni amarah, melenting dengan harapan besar supaya buat begitu Umno akan meninggalkan kerajaan.

"Maka bersoraklah mereka jika kita buat begitu. Ini pun yang mereka nak, maka berulanglah kembali kerajaan PH 1.0, di mana mereka dengan sewenang-wenangnya buat apa saja mereka suka kerana tak ada suara yang akan membantah, membangkang apa juga mereka lakukan," katanya.

Walaupun Ahli Parlimen Rembau itu tidak menamakan sesiapa, dia dipercayai merujuk kepada DAP.

DAP merupakan sebahagian daripada kerajaan PH di bawah kepimpinan Dr Mahathir Mohamad antara 2018 hingga 2020.

Parti itu mengalami kekalahan besar dalam Pilihan Raya Negeri Sabah yang lalu apabila tewas kesemua lapan kerusi yang ditandinginya.

Buat apa takut dengan DAP?

Mohamad merujuk kepada beberapa insiden yang didakwa berlaku akibat Pakatan Harapan menerajui kerajaan tanpa campur tangan Umno.

Antaranya termasuk penjualan beberapa aset strategik kerajaan, termasuk pegangan Khazanah Nasional dalam IHH Healthcare Bhd serta sebidang tanah di Kuala Lumpur milik Tabung Haji.

Pemimpin Umno itu mendakwa IHH dijual bukan demi keuntungan, sebaliknya kerana syarikat tersebut ditubuhkan bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada pakar perubatan Melayu.

"Jadi apakah kita nak mengulangi peristiwa tersebut? Kita perlu fikir panjang-panjang, bertindak mesti bijak

"Supaya jangan nanti bak kata presiden, kita jangan pijak kulit pisang kali kedua. Orang tuduh kita Umdap ke apa ke, itu memang direkacipta untuk memarahkan kit. Kita peduli apa.

"Bak kata Datuk Jo (Ghani), buat apa kita takut dengan DAP. Kita tak perlu takut dengan DAP

"Umno, kalau Melayu bersatu, British kita halau pada 1957.

"Setakatkan DAP kita takut, tak tau lah saya. Saya belumlah takut dengan DAP lagi. Dan saya tak mahu orang Umno takut dengan DAP. Kita mesti teruskan agenda Melayu dalam negara kita," ujarnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS