Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid cadang 'kerjasama agung' parti Melayu-Islam tanpa gugat Madani

PAU 2025 | Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengemukakan usul pembentukan satu gabungan besar kerjasama atau “kolaborasi agung” bagi menyatukan semua parti Melayu dan Islam di Malaysia.

Bagaimanapun, Zahid menegaskan cadangan gabungan besar itu tertakluk kepada satu syarat utama, iaitu tidak mengganggu atau menggugat kerajaan perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Saya mohon persetujuan sidang perwakilan sekalian untuk kita membentuk grand collaboration atau kolaborasi agung bagi menyatukan seluruh parti Melayu dan Islam di seluruh negara untuk berada di bawah satu gabungan kolabrasi dengan tidak berhajat untuk menggugat kerajaan perpaduan yang ada.

“Yang saya bayangkan memang ada yang merisik dan meminang, dengan ini risikan dan pinangan itu diterima dengan rasminya, dengan syarat tidak mengganggu-gugat kerajaan perpaduan yang ada dan kita mahu supaya grand collaboration ini dapat benar-benar menyatukan roh dan perjuangan parti-parti Melayu- Islam dalam kerangka yang lebih besar,” katanya.

Zahid menyampaikan cadangan itu ketika ucapan penggulungannya sebagai kemuncak Persidangan Agung Umno (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, hari ini.

Dia turut menjelaskan ‘gabungan agung’ yang dicadangkan itu tidak menuntut mana-mana parti untuk membubarkan organisasi masing-masing, sebaliknya menggalakkan kerjasama secara tidak rasmi sebagai langkah permulaan.

“Dengan adanya grand collaboration ini kita akan mengetepikan warna-warna yang berbeza di kalangan kita demi Islam dan demi Melayu kita harus berada dalam satu bumbung yang sama.

“Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) jangan risau, saya tidak akan ada agenda untuk tepuk atap atau mahu menggugat kerajaan perpaduan tapi semata-mata bertujuan untuk menterjemahkan keikhlasan Umno untuk merangkul semua parti-parti Melayu-Islam berada dalam satu bumbung demi kepentingan dan agenda Melayu-Islam,” kata Zahid.

Timbalan perdana menteri itu kemudian meminta persetujuan para perwakilan Umno yang hadir sama ada menerima atau menolak usul pembentukan kolaborasi agung tersebut.

Permintaan itu disambut sebulat suara apabila perwakilan melaungkan “setuju” sebanyak tiga kali.

“Mudah-mudahan jika ini dapat kita terima dan menjadi satu usul dan dikemukakan oleh presiden Umno sendiri kepada perwakilan dalam Persidangan PAU 2025 yang bersetuju sila bangun,” katanya, disusuli sorakan perwakilan.

Sementara itu, Zahid berkata peringkat awal perbincangan mengenai kerjasama agung itu akan melibatkan 10 pemimpin utama parti politik.

Tolak hidupkan semula MN

Ditanya jika Umno ada berjumpa dengan PAS, Bersatu bagi membincangkan kerjasama itu, Zahid berkata ia pernah berlaku sebelum ini.

"Ada, pertemuan tidak beberapa lama dulu," katanya ringkas.

Katanya, kerjasama longgar itu membuka pintu kepada parti politik Melayu, Islam dan badan bukan kerajaan (NGO).

Gambar fail.

Zahid berkata Umno menolak untuk menghidupkan Muafakat Nasional (MN) kerana ia telah didaftarkan sebagai NGO.

"Umno sebagai sebuah parti politik Melayu Islam terbesar untuk mengajak mereka mengambil langkah strategik bagi menggabungkan idea dalam satu kerjasama longgar.

"Ada cadangan hidupkan MN...maka kita menolak, kerana MN sudah didaftarakan sebagai NGO," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS