GLOBAL | Sebuah mahkamah persekutuan AS mengenakan sekatan ketat terhadap cara agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) negara itu berinteraksi dengan penunjuk perasaan aman di Minnesota, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Langkah itu diambil di ketika konfrontasi berterusan berlangsung di antara pegawai ICE dan penunjuk perasaan di negeri berkenaan.
Menurut keputusan yang dikeluarkan semalam oleh Hakim Daerah Minnesota, Katherine Menendez, pegawai ICE tidak dibenarkan menahan atau menangkap individu yang "terlibat dalam aktiviti protes secara aman dan tidak menghalang laluan".
Selain itu, mereka dilarang menggunakan semburan lada, gas pemedih mata atau kekerasan serupa yang tidak membawa maut terhadap penunjuk perasaan atau orang awam di kawasan sekitar.
Pegawai persekutuan hanya dibenarkan menahan atau memeriksa kenderaan di kawasan demonstrasi jika wujud syak wasangka yang kukuh bahawa kenderaan terbabit menghalang operasi mereka.
Pemeriksaan secara menyeluruh pula adalah tidak dibenarkan.
Katherine merujuk kepada laporan mengenai kelakuan agresif oleh anggota ICE yang berkemungkinan melanggar hak-hak yang dijamin oleh perlembagaan.
Keputusan itu dibuat susulan protes berterusan di wilayah Minneapolis terhadap operasi ICE – yang mendapat perhatian antarabangsa selepas insiden tembakan maut melibatkan seorang warga AS, Renee Good – oleh pegawai agensi terbabit minggu lepas.
Jabatan Keselamatan Dalam Negara AS menolak dakwaan salah laku pegawainya dan menegaskan bahawa mereka bertindak mengikut undang-undang dan selaras dengan perlembagaan.
Menerusi hantaran di laman X pada Jumaat, jabatan itu menyatakan bahawa kekerasan hanya digunakan apabila perlu bagi melindungi diri dan orang awam.
Perintah mahkamah itu terpakai sepanjang tempoh penempatan tambahan pasukan persekutuan di Minnesota.
Katherine sebelum ini menolak permohonan darurat untuk menghentikan sepenuhnya operasi ICE.
Presiden Donald Trump baru-baru ini mengancam untuk menguatkuasakan Akta Pemberontakan – satu tindakan jarang dilakukan yang membolehkan penempatan tentera AS untuk penguatkuasaan undang-undang domestik – namun dia masih belum mengambil langkah itu.
- Bernama/dpa
