Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mindef siasat kes 'Yeye' secara menyeluruh, tanpa kompromi
Diterbitkan:  Jan 18, 2026 9:59 AM
Dikemaskini: 1:59 AM

Kementerian Pertahanan (Mindef) sedang menjalankan siasatan menyeluruh mengikut prosedur dalaman yang ketat tanpa kompromi melibatkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dikaitkan dengan budaya “Yeye” atau hedonisme.

Timbalan menterinya Adly Zahari berkata siasatan itu dilaksanakan jawatankuasa ditubuhkan di bawah semua domain pertahanan tentera darat, laut dan udara yang mempunyai peraturan serta disiplin ketat dan jelas.

“Di Mindef, kita tidak benarkan sebarang perlakuan yang bercanggah dengan budaya ketenteraan dalam mana-mana domain pertahanan, sama ada kes itu terpencil atau tidak.

“Kalau berlaku pelanggaran disiplin, kita akan bertindak pada peringkat dalaman... akan ada jawatankuasa ditubuhkan dan siasatan akan dilakukan termasuk membawa kes berkenaan ke mahkamah tentera,” katanya di Alor Gajah malam tadi.

Adly berkata demikian selepas majlis pelancaran hiasan Tahun Baru Cina di Kampung Permai Machap Umboo Baru. Turut dihadir Adun Machap Jaya, Ngwe Hee Sem.

Menurut Adly menerusi siasatan yang dijalankan itu, anggota atau pegawai dikaitkan aktiviti tidak bermoral dijamin hak mempertahankan atau membuktikan diri mereka tidak bersalah sebelum sebarang hukuman dijatuhkan.

Dia berkata rakyat diminta untuk tidak mempertikaikan pengorbanan anggota dan pegawai ATM disebabkan isu berkenaan, kerana tanggungjawab mereka menjaga keamanan dan keselamatan negara telah terbukti.

“Di Mindef, kita ada lebih daripada 130,000 anggota serta pegawai ATM, manakala kita juga ada kira-kira 300,000 veteran tentera dan mereka sudah korbankan masa, kepentingan keluarga dan sebahagiannya mengorbankan nyawa mereka untuk negara,” katanya.

Semalam media melaporkan Panglima Tentera Darat Jen Azhan Md Othman mengesahkan 15 pegawainya dikenal pasti terlibat dalam aktiviti tidak bermoral yang dikaitkan dengan budaya “Yeye”, seperti yang tular dalam media sosial baru-baru ini.

Sebelum ini, sebanyak 21 pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia turut dikenal pasti terbabit dengan aktiviti tidak bermoral itu dan siasatan kes telah dilengkapkan sebelum ke proses perundangan dalam masa terdekat.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS