Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, mempertikaikan dakwaan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, bahawa dia mendedahkan kewujudan “team B” dalam parti komponen PH itu.

Menafikan pernah mengadakan sebarang perbincangan dengan Ahmad Zahid mengenai perkara itu, Loke menegaskan, ahli dan wakil DAP kekal bersepakat sebagai satu pasukan yang dipandu oleh idea bersama serta motivasi yang selari.

“Logik ke? Adakah saya begitu bodoh dari segi politik? Walaupun wujud team B, mengapa saya perlu beritahu orang lain mengenainya, apatah lagi kepada seorang pemimpin parti lain?

“Tidak ada team A, team B atau team C dalam DAP. Yang ada hanya satu — team DAP,” katanya dalam ucapan perasmian Konvensyen DAP Selangor di Klang hari ini.

Loke berkata, walaupun sebelum ini dia tidak bersetuju dengan pandangan dibuat seorang lagi pemimpin DAP – Yeo Bee Yin mengenai kes mahkamah Najib Razak – ia bukanlah punca kepada perpecahan parti tersebut.

“Dalam DAP, kita boleh mempunyai pendapat berbeza dan kita akan menguruskan perkara itu secara dalaman, justeru tak ada isu di situ,” tambahnya.

Semalam, Ahmad Zahid mendakwa wujud kem dalam DAP yang mempunyai pandangan berbeza dengan kepimpinan utama parti itu dan kenyataan yang dibuat terhadap Najib.

Ahmad Zahid juga memberitahu dia bertemu dengan Loke berhubung kenyataan dibuat Yeo. Kenyataan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu ditafsir sebagai memberi bayangan wujud kumpulan berbeza pandangan dalam DAP.

Punca kejatuhan kerajaan lalu

Ditanya mengenai komennya terkait niat di sebalik dakwaan Ahmad Zahid itu, Loke secara berseloroh berkata dia tidak boleh membaca fikiran timbalan perdana menteri berkenaan.

“Saya tidak tahu apa niatnya. Saya tidak tahu sama ada ia tersasul atau (dikatakan) sengaja. Tetapi, saya ingin mengingatkan bahawa strategi pecah dan perintah tidak boleh diguna pakai dalam DAP.

“Dalam sebarang kerjasama gabungan, tidak seharusnya ada usaha untuk memecahbelahkan parti lain (kerana) kita bekerja bersama… Setakat DAP, kami komited memastikan kerajaan perpaduan ini berjaya,” tegasnya.

Sebelum itu dalam ucapannya, Loke turut menyentuh skandal 1MDB yang melibatkan Najib dengan menegaskan bahawa DAP akan mengingati isu itu sebagai suatu peringatan terhadap keperluan pembaharuan kerajaan dan tadbir urus yang baik.

Menteri pengangkutan itu merujuk kepada kekecewaan yang disuarakan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, baru-baru ini mengenai sikap sesetengah orang yang terus menyokong individu disabitkan kesalahan rasuah.

Tuanku Muhriz Tuanku Munawir

Loke berkata walaupun pemimpin Umno berulang kali mendakwa mereka perlu mendesak DAP agar mematuhi prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, DAP sentiasa mengekalkan komitmennya untuk menegakkan perlembagaan, khususnya penghormatan terhadap Raja-raja Melayu.

“Sebagai orang Negeri Sembilan, saya menurut titah (Tuanku Muhriz) – mereka yang terlibat dalam rasuah besar tidak akan pernah dimaafkan. Ini adalah pendirian kami (DAP).

“Kami tidak akan lupa isu 1MDB yang telah menjatuhkan kerajaan yang memerintah lebih 61 tahun,” tambahnya.

Justeru dia merujuk kepada komitmen Putrajaya untuk memperkenalkan undang-undang bersejarah yang bertujuan mengehadkan tempoh perkhidmatan seorang perdana menteri kepada dua penggal serta usaha untuk memisahkan Pejabat Peguam Negara (AGC) daripada pejabat pendakwa raya.

Usaha sedemikian, menurut Loke, dilakukan untuk mengelakkan isu sama berulang.

Dia juga memerhatikan bahawa semasa PAU Umno baru-baru ini, DAP nampaknya menjadi topik hangat dalam kalangan pemimpin dan perwakilan parti itu.

“Saya berada di sini hari ini untuk merasmikan Konvensyen DAP Selangor, tetapi rasanya ucapan saya seperti ucapan penutup perbahasan di PAU (kerana) banyak sebut DAP.

“Ada yang berkata sejak DAP menyertai kerajaan, kita jadi senyap dan tidak berani bersuara atau memperjuangkan agenda yang pernah diperjuangkan. (Tetapi), semasa PAU, ada yang berkata Umno mesti menjadi sebahagian daripada kerajaan untuk menentang DAP.

“Ini menunjukkan bahawa DAP tidak senyap apabila kami memegang jawatan kabinet – kami tidak rasa perlu memohon maaf atas perkara ini.

“Setiap kali kita ada agenda seperti berkaitan pembaharuan institusi dan isu yang menjejaskan rakyat, kami akan memperjuangkannya,” kata Loke.

Dia bagaimanapun menyatakan, menjadi sebahagian kabinet juga bermakna rundingan dan perbincangan perlu diadakan untuk memastikan persetujuan boleh dicapai.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS