Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zaharudin ingatkan kembali kewujudan 'Jebon' dalam PAS
Diterbitkan:  Jan 18, 2026 3:37 PM
Dikemaskini: 7:37 AM

Yang Dipertua PAS Sungai Buluh sekali lagi membangkitkan isu “Jebon” dalam PAS yang akhir-akhir ini menyaksikan pertembungan pandangan di antara dia dengan beberapa pemimpin pusat.

Dalam tulisan hari ini, Zaharudin Muhammad mengimbau detik awal PAS berdepan dengan krisis dalaman yang menyaksikan sekumpulan pemimpin yang dianggap mahu mengubah haluan parti.

Kata Zaharudin, dia merupakan orang yang terawal mendedahkan “konspirasi” kumpulan terbabit dalam PAS sehingga membawa kepada pendekatan yang tertentu dalam menguruskan parti.

Disebabkan keadaan tersebut, dakwa menantu Abdul Hadi Awang itu lagi, para pemimpin PAS ketika itu tidak lagi bercakap mengenai hudud atau negara Islam, sebaliknya memberikan fokus kepada inti pati agama dalam bentuk negara kebajikan.

“Waktu saya up (timbulkan secara) terbuka isu ini, maka ramailah ahli yang bantai-bantai supaya bincang tertutup, selesaikan dalaman dan face to face dengan mereka yang berkenaan.

“Di samping ahli yang baik, jenis kedua (yang membantah) ialah jebon yang bantai (supaya) jangan komen terbuka kerana jika komen terbuka pekung mereka akan terbuka (terdedah),” tulisnya di media sosial hari ini.

Kenyataan itu hadir ketika Zaharudin menjadi perhatian ramai apabila memberi amaran tentang risiko kepada PAS jika tersilap langkah menjalin kerjasama politik.

Antara lain bekas anggota Majlis Syura Ulama PAS Pusat itu mengingatkan tentang kemungkinan musuh sudah menyelinap ke dalam parti terbabit ketika mereka berdepan dengan isu kepimpinan utama PN.

Ayat Jebon dulu muncul kembali

Kata Zahrudin, kesilapan percaturan menaikkan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar, sebagai pengerusi baru PN mungkin akan menyebabkan PAS kehilangan sehingga 37 kerusi parlimen dalam PRU akan datang.

Dia juga mengaku berdukacita apabila Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PN ekoran krisis yang melanda kerajaan Perlis.

Bagaimanapun Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, menganggap pandangan Zaharudin sebagai “tersasar dari realiti.”

Semalam BH Online pula melaporkan Ahmad Samsuri enggan mengulas lanjut pandangan yang “digoreng” tersebut kerana menganggapnya sebagai tidak berbaloi.

Ahmad Samsuri Mokhtar

Malah Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS menganggap Zaharudin sebagai “kelakar”.

"Biar dia gorenglah setakat mana dia nak goreng... Dia tu kelakarlah. Not worth it even a single cent to say anything to him. Let him be (Tidak berbaloi walau sesen pun untuk berkata apa-apa kepadanya. Biarkan dia," katanya seperti dipetik BH semalam.

Kata Zaharudin dia berpegang kepada disiplin tertentu semasa membangkitkan isu mengenai “jebon” di dalam PAS.

“Sekali saya dah lalui pengalaman lead (mengetuai) jentera lawan Jebon 1.0.

“Saya tahu sikap ahli dan saya faham sikap musuh. Ada yang melabelkan tulisan saya sebelum ini sebagai jebon, walhal masa Jebon dulu, sama ada dia (orang yang mengkritik) bersama Jebon atau masih duduk di bangku sekolah.

“Yang penting tanpa disedari ayat-ayat (Jebon) yang dulu mula berulang kembali,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS