Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan menuntut ganti rugi sebanyak RM10 juta daripada Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz berhubung kenyataan yang didakwa bersifat fitnah.
Wan Saiful mendakwa Tun Faisal menerusi satu episod podcast, telah mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah berkaitan dakwaan penglibatannya dalam skandal rasuah Jana Wibawa — satu program kerajaan yang diperkenalkan semasa krisis Covid-19 bagi membantu kontraktor bumiputera.
Wan Saiful berkata peguamnya telah mengeluarkan surat tuntutan pada 3 Dis, yang antara lain menuntut agar kenyataan tersebut ditarik balik, serta permohonan maaf secara bertulis dan dalam bentuk video diterbitkan.
Dia juga menuntut satu jaminan bertulis bahawa kenyataan sedemikian tidak akan diulangi, selain pampasan bagi semua perbelanjaan yang ditanggung berkaitan perkara itu, di samping tuntutan RM10 juta tersebut.

Kegagalan memenuhi tuntutan itu, menurut Wan Saiful akan menyebabkan tindakan undang-undang diambil.
Jawapan daripada peguam Tun Faisal
Wan Saiful turut memaklumkan bahawa dia sudah mendapat jawapan daripada peguam Tun Faisal, yang kini sedang diteliti oleh pihak peguamnya.
“Saya telah dimaklumkan oleh Peguam saya bahawa Tun Faisal melalui Peguam beliau telah menghantar Surat Jawapan Balas bertarikh 12 Januari 2026.

"Peguam saya sedang meneliti dan mengkaji Surat Jawapan Balas tersebut sebelum tindakan selanjutnya diputuskan.
"Saya tegaskan bahawa saya memelihara dan mengekalkan segala hak saya di bawah undang-undang berhubung perkara ini tanpa sebarang prejudis,” katanya pada hantaran di media sosial.
Dalam podcast The Tiger Show yang disiarkan pada 31 Okt, Tun Faisal mendakwa Wan Saiful telah menerima “pelbagai keistimewaan” daripada Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.
Antara lain, Tun Faisal mendakwa Muhyiddin telah mencalonkan Wan Saiful untuk bertanding di kerusi parlimen Tasek Gelugor pada pilihan raya umum lalu, walaupun ketika itu dia ketua bahagian Bersatu Bangi.

Sebelum ini, Muhyiddin telah didakwa atas kesalahan penyalahgunaan kuasa berkaitan salah urus dana berjumlah RM232.5 juta daripada inisiatif berkenaan.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menetapkan 9 Mac sebagai tarikh permulaan perbicaraan Muhyiddin.
Wan Saiful turut disiasat dan didakwa atas kesalahan rasuah serta pengubahan wang haram melibatkan lebih RM5 juta, yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa. Perbicaraan kes tersebut masih berjalan.
Pada Oktober 2025, Wan Saiful telah dipecat daripada Bersatu oleh lembaga disiplin parti susulan dakwaan melanggar perlembagaan parti serta kod etika dan tatakelakuan.
Walaupun lembaga berkenaan tidak memperincikan pelanggaran tersebut, dipercayai Wan Saiful dan empat lagi ketua bahagian Bersatu dipecat berkaitan usaha menekan Muhyiddin supaya menyerahkan kepimpinan parti kepada timbalannya, Hamzah Zainudin.
