Kira-kira 20 penduduk Kampung Papan hadir di Konvensyen DAP Selangor yang berlangsung di Klang hari ini sambil memegang plakad menuntut keadilan berhubung masalah perumahan yang mereka hadapi.
Mereka menuduh DAP gagal menunaikan janji perumahan, dengan mendakwa mereka kini tidak mempunyai tempat tinggal walaupun telah menyokong parti itu selama empat penggal berturut-turut.
Kumpulan tersebut turut menyerahkan satu memorandum kepada Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo.
“Sejak rumah kami dirobohkan, kami tidak pernah melihat pemimpin DAP turun ke kampung kami, walaupun kami telah mengundi DAP selama empat penggal berturut-turut di kawasan ini.

“Pada 2008, semasa era Pakatan Rakyat ketika DAP merupakan parti komponen, kami penduduk diminta oleh wakil DAP supaya menarik balik (tindakan undang-undang) injunksi kami.
“Kami dijanjikan oleh wakil DAP pada ketika itu bahawa jika kami menarik balik kes tersebut, mereka akan membina rumah untuk kami.
“Namun, janji itu tidak ditunaikan dan kami sekali lagi diseret ke mahkamah apabila kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran Selangor,” menurut memorandum tersebut.
Mereka turut mendakwa Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) yang dipengerusikan Menteri Besar Amirudin Shari sebelum ini juga telah meluluskan pembinaan rumah teres untuk mereka, namun keputusan itu kemudian ditarik balik.

“Kenyataan terbaru menteri besar lebih memburukkan keadaan apabila beliau berkata bahawa beliau tidak dapat berbuat apa-apa kerana perkara itu berada di mahkamah.
“Ia seolah-olah menunjukkan kerajaan Selangor tidak bersedia menggunakan kuasa politiknya untuk menyelesaikan isu Kampung Papan,” tambah mereka.
Pendirian bercanggah
Penduduk berkata tindakan itu turut bercanggah dengan dasar kerajaan negeri Selangor sejak pentadbiran bekas menteri besar Abdul Khalid Ibrahim sehingga Amirudin, yang mana pengusiran hanya dilakukan selepas perumahan alternatif disediakan.

Mereka menambah bahawa pada 4 Nov tahun lalu, tuntutan mereka telah dikemukakan kepada Amirudin dan bekas menteri besar Selangor Azmin Ali, memandangkan kedua-dua pemimpin itu memainkan peranan dalam penempatan semula perumahan bagi peneroka asal Kampung Papan.
Dalam memorandum berkenaan, penduduk turut mengemukakan beberapa tuntutan kepada kerajaan negeri Selangor, termasuk rundingan secara langsung, pemulihan perjanjian perumahan yang telah diluluskan sebelum ini, pampasan bagi rumah yang dirobohkan, serta pembekuan projek-projek berkaitan pemaju Melati Ehsan Holdings Berhad sehingga pertikaian diselesaikan sepenuhnya.
Mereka menuntut kerajaan negeri kembali kepada perjanjian yang dicapai dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 26 Feb 2018.
Di bawah keputusan itu, kerajaan negeri bersetuju membina rumah teres berharga RM99,000 untuk peneroka asal, selain menyediakan bentuk perumahan lain bagi peneroka bukan asal.

Penduduk berkata perjanjian tersebut telah dipersetujui oleh semua pihak, termasuk kerajaan negeri dan pemaju, serta menegaskan sokongan mereka terhadap keputusan MTES yang dibuat pada tarikh yang sama.
Mereka turut menuntut Melati Ehsan membayar pampasan bagi 29 rumah yang dirobohkan, yang menurut mereka “jelas bertentangan dengan keputusan bersama yang dicapai dengan menteri besar pada 21 Okt 2025”.
“Kami juga memohon agar semua rundingan pada masa hadapan dijalankan secara langsung dengan jawatankuasa penduduk atau wakilnya, atau dengan peguam yang dilantik oleh penduduk.
“Sekiranya kerajaan negeri memerlukan surat pelantikan rasmi daripada 83 penduduk kepada jawatankuasa tersebut, kami bersedia untuk menyediakannya,” kata mereka.

Walaupun menyatakan keterbukaan untuk berbincang mengenai penempatan sementara yang munasabah, penduduk menegaskan sebarang penarikan tindakan undang-undang hanya akan dibuat selepas satu perjanjian rasmi ditandatangani, dengan penglibatan peguam mereka.
Bekukan projek pemaju
Mereka turut menggesa kerajaan negeri supaya membekukan semua projek yang dijalankan oleh Melati Ehsan dan anak syarikatnya di Selangor sehingga isu itu diselesaikan sepenuhnya, sambil menyatakan bahawa gesaan sama pernah dibangkitkan oleh Adun Pandamaran, Leong Tuck Chee semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor.
“Sekiranya TPPT (Tabung Projek Perumahan Terbengkalai Sdn Bhd) dan Melati Ehsan enggan menyerahkan tanah yang mencukupi, kerajaan negeri mesti mencari penyelesaian, termasuk menggunakan Akta Pengambilan Tanah untuk memperoleh tanah bagi projek berkepentingan awam.

“Kami amat kecewa kerana walaupun kerajaan negeri memperuntukkan 95 ekar tanah pada 1995, hanya tujuh ekar dikembalikan setakat ini manakala TPPT masih kekal sebagai pemilik tanah berkenaan,” tambah mereka.
Untuk rekod, TPPT ialah pemaju hartanah berkaitan kerajaan yang asalnya ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia bagi memulihkan projek perumahan terbengkalai, sebelum beralih kepada pembangunan perumahan mampu milik.
Mengulas isu senarai penduduk terjejas, wakil penduduk berkata satu bancian telah dijalankan oleh kerajaan dan walaupun mereka mempunyai rungutan terhadap proses itu, mereka menerima serta percaya bahawa semua nama mereka telah dimasukkan dalam senarai 211 individu yang dikenal pasti.
“Berhubung rumah ibadat, kami dimaklumkan bahawa semua tapak berkenaan telah disediakan tanah gantian.

“Kami berharap kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan jawatankuasa kuil dan rumah ibadat, manakala jawatankuasa kami hanya akan terlibat dalam rundingan berkaitan perumahan.
“Kami bersedia mengatur satu pertemuan sekiranya diperlukan,” tambah mereka.
Pada 1 Jan, beberapa penduduk terjejas melancarkan pembinaan 'rumah baru' sebagai satu bentuk bantahan terhadap kerajaan Selangor, yang didakwa gagal menunaikan janji perumahan.
Ia susulan tindakan Melati Ehsan merobohkan rumah-rumah yang tidak berpenghuni dan yang masih didiami di penempatan itu pada November lalu, walaupun kerajaan negeri sebelum ini berjanji hanya struktur kosong akan dirobohkan.
Menurut jawatankuasa penduduk, sebanyak 29 unit berpenghuni telah dirobohkan sepanjang operasi selama lima hari itu, yang turut menyaksikan polis menahan 11 penduduk, anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) serta aktivis.
