PARLIMEN l Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengingatkan rakyat Malaysia yang enggan menerima bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan supaya tidak tinggal di negara ini.
Bertitah ketika pembukaan sidang Parlimen 2026, baginda menegaskan bahawa apa juga sistem pendidikan yang ingin diperkenalkan harus selari dengan dasar pendidikan negara berteraskan bahasa Melayu.
"Sistem pendidikan negara juga perlu terus diperkasa, sebagai peminaan bangsa, jati diri dan masa hadapan negara.
"Jika hendak buat sistem pendidikan yang baru, ianya mesti dibuat selari dengan dasar pendidikan kebangsaan dan Bahasa Melayu mesti jadi bahasa utama kerana ianya bahasa kebangsaan.

"Oleh itu, sebarang usul untuk mengiktiraf apa juga sistem pendidikan lain, mesti terima Bahasa Melayu dan sejarah Malaysia, kalau ada yang tak terima bahasa Melayu lebih baik jangan duduk di Malaysia,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda menyeru semua pihak supaya kembali kepada pembentukan Malaysia menerusi perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah menyatukan Tanah Melayu Sabah dan Sarawak sebagai sebuah negara.
Katanya, rakyat harus kembali kepada niat asal penubuhan Malaysia untuk membentuk perpaduan dan rakyat berbilang kaum dalam suasana harmoni.
"Kita sewajarnya kembali kepada niat asal pembentukan Malaysia, perpaduan dan hormat menghormati, kerjasama erat antara negeri-negarai dan Kerajaan Persekutuan.
"Hati-hati supaya tidak menghasut sampai wujud ketegangan antara wilayah, sebarang perbezaan pandangan harus diselesaikan secara matang dan bukan menerusi kebencian atau syak wasangka," titah baginda lagi.
Dalam pada itu baginda menyambut baik langkah kerajaan untuk meminda had tempoh perdana menteri selama dua penggal atau pun 10 tahun serta menyokong pengasingan kuasa antara Jabatan Peguam Negara (AGC) dan pendakwa raya.
