PARLIMEN l Meluahkan rasa kecewa berhubung kes rasuah membabitkan pegawai tinggi tentera, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah tidak mustahil, selepas ini anggota pangkat lain, seperti sarjan dilantik menjadi Panglima Angkatan Tentera (PAT).
Sambil menegaskan rasuah merupakan musuh utama kepada pelbagai perkara termasuk hal melibatkan pentadbiran negara dan kesejahteraan rakyat, titah baginda, penjawat awam yang terbabit dengan jenayah rasuah adalah pengkhianat .
"Suka saya ingatkan di sini segala perancangan dibuat tak akan sempurna kalau amalan rasuah masih berleluasan, saya pernah sebut dulu saya datang ke Kuala Lumpur untuk buru perasuah dan nampaknya saya telah berjaya.

"Saya amat kecewa apabila berlakunya kes rasuah dalam Angkatan Tentera Malaysia, sehingga ke peringkat tertinggi, agaknya selepas ini saya terpaksa lantik sarjan sahaja jadi Panglima Angkatan Tentera," titahnya.
Seri Paduka bertitah demikian ketika menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15, di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Sultan Ibrahim, baginda percaya kes rasuah dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan kes yang ada.
“Saya yakin ada ramai lagi di luar sana sama ada di Jabatan Kastam, Imigresen, polis dan sebagainya serta termasuk juga yang berada dalam dewan ini akan diburu sampai jumpa.
"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti menjalankan siasatan dengan cepat, tegas dan sempurna tanpa mengira pangkat atau kedudukan," titah baginda.

Baginda turut mahu kerajaan menyediakan hakim yang berpengalaman dan laluan khas di mahkamah supaya perbicaraan kes rasuah dapat diselesaikan dengan segera.
“Amalan rasuah mesti diperangi secara besar-besaran. Rakyat juga harus menjadi mata-mata dan melaporkan sebarang bentuk jenayah rasuah.
“Suka saya ingatkan di sini, segala perancangan yang dibuat tidak akan sempurna jika amalan rasuah masih berleluasa,” titah Seri Paduka.
Sementara itu, baginda turut memberi ingatkan kepada ahli Dewan Rakyat yang terbabit rasuah bahawa mereka akan terus diburu sampai dapat.
Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong turut bertitah mengingatkan bahawa asas pembentukan Malaysia adalah menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah menyatukan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak sebagai sebuah negara.
"Kita sewajarnya kembali kepada niat asal pembentukan Malaysia iaitu perpaduan dan hormat-menghormati serta kerjasama erat antara negeri-negeri dan kerajaan Persekutuan," titah Seri Paduka Baginda.
Sultan Ibrahim juga mengingatkan semua Ahli Yang Berhormat agar lebih berhati-hati supaya tidak menghasut sehingga mencetuskan ketegangan antara wilayah sebaliknya menyelesaikan sebarang perbezaan pandangan secara matang tanpa kebencian atau syak wasangka.
Titah Seri Paduka Baginda, hak-hak negeri perlu sentiasa dihormati namun kepentingan Malaysia secara bersama hendaklah diutamakan.
Seri Paduka Baginda dalam titah tersebut turut menyentuh kepentingan mewujudkan undang-undang berhubung keselamatan negara dan ancaman luar adalah wajar bagi memastikan keharmonian antara semua kaum serta kedaulatan negara terus terpelihara.
