Jumlah bilionair di seluruh dunia terus meningkat dan kekayaan mereka berkembang pada kadar yang semakin pantas, menurut laporan yang diterbitkan Oxfam menjelang permulaan Forum Ekonomi Dunia di Davos pada Isnin, lapor agensi berita Jerman dpa.
Pertubuhan antikemiskinan dan pembangunan itu, yang menerbitkan laporan tahunan mengenai ketidaksamaan global menjelang mesyuarat Davos, menjelaskan, kira-kira 3,000 bilionair dunia memiliki kekayaan gabungan sebanyak US$18.3 trilion tahun lalu.
Diselaraskan dengan inflasi, kekayaan mereka meningkat lebih 80 peratus sejak Mac 2020. Pada masa yang sama, hampir separuh daripada penduduk dunia masih hidup dalam kemiskinan, menurut Oxfam.
Laporan itu menggunakan data daripada pelbagai sumber, termasuk anggaran kekayaan bilionair oleh Forbes, angka Bank Dunia dan Laporan Kekayaan Global UBS.
Kekayaan bilionair meningkat kira-kira 16 peratus tahun lalu - tiga kali ganda lebih pantas daripada kadar pertumbuhan purata beberapa tahun sebelumnya. Dua belas individu terkaya dunia kini memiliki lebih banyak kekayaan berbanding separuh penduduk dunia yang termiskin, iaitu lebih empat bilion orang, menurut Oxfam.
Individu terkaya di dunia, Elon Musk, memperoleh pendapatan dalam tempoh empat saat bersamaan dengan jumlah diperoleh seorang individu biasa dalam setahun, menurut Oxfam. Ia merumuskan yang Musk perlu menyumbang lebih US$4,500 setiap saat untuk kekayaannya mula menyusut.
Perbandingan kekayaan lain yang dikemukakan Oxfam termasuk empat lelaki terkaya di dunia mempunyai nilai kekayaan yang lebih tinggi berbanding gabungan nilai semua lembu di planet ini.
Bilionair dunia mampu membeli lebih 600 bilion figura koleksi “blind box” Labubu dan akan mengambil masa hampir enam juta tahun untuk membukanya satu persatu.
Bilionair memperoleh purata US$6,000 semasa tidur lena selama 20 minit dan US$145,000 sepanjang tidur malam selama lapan jam.
Seramai 65 pemimpin dunia dijangka menyertai forum Davos tahun ini di Switzerland iaitu jumlah tertinggi pernah direkodkan bersama puluhan ketua bank pusat dan menteri kewangan, serta tokoh besar dunia perniagaan.
Oxfam adalah antara pengkritik paling lantang terhadap mesyuarat itu, dengan menyelar perhimpunan elit global itu sebagai terlalu kerap hanya memberi perhatian secara retorik terhadap masalah golongan miskin.
- Bernama-dpa
