Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib, Thomas capai persetujuan tamat saman fitnah isu Altantuya
Diterbitkan:  Jan 19, 2026 3:48 PM
Dikemaskini: 10:12 AM

Bekas perdana menteri Najib Razak dan Tommy Thomas mencapai penyelesaian bersama secara baik dalam satu saman sivil berhubung penerbitan buku My Story: Justice in The Wildernessoleh bekas peguam negara itu.

Bercakap kepada media di luar Mahkamah Tinggi Shah Alam, tempat prosiding berlangsung hari ini, peguam Najib, Shafee Abdullah berkata penyelesaian itu boleh dianggap sebagai satu “kemenangan” buat Najib kerana khabar angin yang mengaitkannya dengan model Mongolia Altantuya Shaariibuu telah menghantui dirinya selama bertahun-tahun.

Shafee Abdullah

“Anak guam saya sangat gembira kerana selama bertahun-tahun dia berasa tertekan apabila tiada sebarang kenyataan langsung (yang mengaitkannya dengan pembunuhan Altantuya), namun pelbagai khabar angin telah disebarkan (mengenai penglibatannya).

“Sekurang-kurangnya terdapat satu penyelesaian. Thomas telah mengakui bahawa setakat 2021, tidak pernah ada sebarang pembunuhan atau bukti (yang mengaitkan Najib), walaupun siasatan lanjut telah dijalankan oleh polis atas permintaan pelbagai pihak, termasuk bapa Altantuya,” kata Shafee.

Katanya, bahawa penyelesaian ini serta kenyataan pengakuan Thomas yang dibacakan oleh peguam Alan Gomez yang mewakili bekas peguam negara itu dalam prosiding dalam prosiding di hadapan hakim Khadijah Idris hari ini seharusnya menamatkan segala spekulasi dan ‘sembang kedai kopi’ mengenai pembunuhan Altantuya yang mensasarkan Najib.

Shafee yang turut membacakan kenyataan Thomas kepada media berkata Najib sejak awal kes tidak pernah menuntut sebarang pampasan kewangan, sebaliknya hanya mahu membersihkan namanya.

My Story: Justice in the Wilderness

Dalam kenyataan tersebut, Thomas berkata dia berpegang kepada kenyataan dan pandangannya yang dinyatakan dalam Bab 42 bukunya, My Story: Justice in the Wilderness, bahawa akuan berkanun Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri saling menyokong antara satu sama lain.

“Namun, saya menerima bahawa sejak penerbitan buku saya pada 2021, saya tidak mengetahui sebarang bukti yang mengaitkan Najib dengan pembunuhan Altantuya, walaupun saya memahami bahawa terdapat siasatan selepas penerbitan buku tersebut.

“Dalam keadaan ini, saya tidak membantah penarikan balik saman sivil terhadap penerbit dan saya, tanpa perintah kos.

“Sekiranya buku saya dicetak semula dan/atau diterbitkan semula, kenyataan di atas akan dinyatakan dalam buku tersebut, pada halaman yang sama dengan penerbitan kenyataan yang dipertikaikan (halaman 404–405).

“Defendan kedua menerima pakai secara substansial kenyataan di atas oleh defendan pertama,” katanya ketika membacakan kenyataan itu yang ditandatangani oleh Thomas, dan juga oleh penerbit buku tersebut, Gerakbudaya.

Dalam prosiding hari ini, mahkamah merekodkan penghakiman persetujuan antara semua pihak bagi tujuan penyelesaian dan tidak mengeluarkan sebarang perintah mengenai kos. Hakim Khadijah bagaimanapun berkata, bahawa Najib tidak mempunyai kebebasan untuk memfailkan saman baharu terhadap para defendan.

Altantuya Shaariibuu

Najib memfailkan saman tersebut terhadap Thomas dan Gerakbudaya pada 2021, dengan mendakwa bekas peguam negara itu telah mencadangkan bahawa dia secara langsung dikaitkan dengan pengakuan berkanun Azilah dan Sirul dalam pembunuhan Altantuya pada 2008.

Kedua-dua mereka dijatuhkan hukuman bersalah dengan pembunuh Altantuya pada tahun 2009.

Najib berhujah bahawa Thomas, melalui buku tersebut, membayangkan dirinya bersalah kerana berkonspirasi membunuh Altantuya, yang didakwa mengelirukan rakyat mengenai kejadian tersebut, dan oleh itu tidak layak memegang jawatan politik atau apa-apa jawatan.

Najib juga berhujah bahawa Thomas menulis dalam bukunya bahawa dia mempunyai agenda untuk membunuh Altantuya dan didakwa mempengaruhi Sirul secara tidak sah ketika anggota polis itu dalam tahanan di Australia.

Selain itu, Najib menuduh Thomas sebagai dalang kepada satu konspirasi untuk memenjarakannya, dengan mendakwa bekas peguam negara itu bersifat partisan serta memihak kepada tokoh Pakatan Harapan seperti Lim Guan Eng, Lim Kit Siang dan Anwar Ibrahim, selain menunjukkan kecenderungan jelas yang berat sebelah menentang Umno dan BN ketika memegang jawatan peguam negara.

Dalam saman itu, Najib menuntut ganti rugi yang tidak dinyatakan pada kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh pemfailan saman, permohonan maaf, penyingkiran perkataan serta petikan yang bersifat fitnah daripada buku tersebut, serta satu injunksi kekal bagi menghalang Thomas atau penerbit Gerakbudaya daripada menerbitkan kenyataan serupa pada masa hadapan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS