Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam Badan Perhubungan Umno Terengganu, Nurhisam Johari menyifatkan tafsiran seolah-olah pihaknya menghulurkan pelawaan kerjasama kepada PAS sebagai satu usaha mengelirukan rakyat.
Menurut Nurhisham, kenyataan Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Rozi Mamat, yang dilaporkan sebelum ini telah disalah tafsir secara sengaja, sedangkan ia tidak pernah bertujuan membuka ruang kerjasama politik dengan PAS.
“Saya ingin menegaskan pendirian yang jelas dan konsisten bahawa Umno Terengganu tidak mempunyai sebarang hasrat untuk bergabung dengan PAS, sama ada melalui Muafakat Nasional atau mana-mana bentuk kerjasama politik lain.
“Sebarang cubaan mentafsir kenyataan Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, YB Datuk Rozi Mamat, sebagai pelawaan kepada PAS adalah salah tafsir yang disengajakan dan mengelirukan rakyat,” katanya pada satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Umno Terengganu dilaporkan menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan PAS sebagai sebahagian usaha menebus kekalahan berturut-turut dalam dua pilihan raya umum sebelum ini.
Rozi Mamat dipetik berkata cadangan itu selaras dengan idea Musyawarah Nasional, yang bertujuan membuka ruang perbincangan antara pemimpin politik Melayu, pakar dan profesional demi kepentingan agama, bangsa dan negara. Malah, dia turut menyatakan Umno Terengganu bersedia membuka pintu rundingan dengan PAS sekiranya kerjasama itu mampu membawa perubahan positif.
Namun, Nurhisham menjelaskan kenyataan berkenaan sekadar sindiran politik yang tegas terhadap kelemahan serius tadbir urus PAS di Terengganu, yang menurutnya semakin sukar dinafikan oleh sesiapa yang menilai keadaan pentadbiran negeri secara jujur.
Dia berkata kelemahan tersebut bukan lagi isu kecil atau bersifat teknikal, sebaliknya telah mencapai tahap membimbangkan apabila kerajaan negeri yang memerintah bertahun-tahun masih gagal mengurus kewangan dengan berkesan.
"Keadaan ini terbukti apabila pembayaran bonus penjawat awam terpaksa dimohon daripada Kerajaan Persekutuan. Ini bukan soal politik kepartian semata-mata, sebaliknya soal keupayaan mentadbir dan tanggungjawab terhadap rakyat," jelasnya.
Nurhisham turut melahirkan kebimbangan apabila PAS sering membawa label Islam seolah-olah pentadbiran parti itu mencerminkan keupayaan Islam dalam mengurus negara dan ekonomi, sedangkan kegagalan tadbir urus, ketidakcekapan kewangan serta kelemahan perancangan berisiko disalah tafsir sebagai kegagalan Islam itu sendiri.
"Umno tidak boleh membiarkan Islam dipandang rendah hanya kerana kegagalan sesebuah parti politik yang menggunakan agama sebagai jenama, tetapi gagal membuktikan kecekapan dalam pentadbiran," tegasnya.
Pada masa sama, dia menegaskan Islam tidak boleh dijadikan perisai untuk menutup kegagalan pentadbiran, sebaliknya menuntut keadilan, kecekapan, amanah dan kebijaksanaan dalam pemerintahan.
Nurhisham juga menyoal kewajaran PAS berbicara soal kesatuan dan kerjasama politik sedangkan hubungan parti itu dengan rakan dalam Perikatan Nasional, khususnya Bersatu, dilihat semakin retak dan sarat dengan percanggahan.
"Gabungan yang gagal mengurus kesepaduan dalaman tidak memberi keyakinan kepada rakyat untuk mentadbir dengan lebih baik," katanya.
Tegasnya lagi, Umno kekal konsisten mengkritik berdasarkan pengalaman sebenar dan realiti pentadbiran, bukan bersandarkan sentimen politik.
Justeru, Nurhisham menegaskan PAS perlu menghentikan permainan naratif politik dan mula menjawab persoalan asas rakyat, termasuk kegagalan mengembangkan hasil negeri serta kelemahan berterusan dalam pengurusan kewangan.
"Umno memilih untuk bercakap melalui fakta, bukan slogan," tambahnya.
