Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari beranggapan cadangan ‘kolaborasi agung’ dan ‘rumah bangsa’ oleh Umno sebagai tidak menyakinkan walaupun hebat kedengaran dari segi istilahnya.
Secara sepintas lalu katanya, ia seolah-olah menggambarkan suatu gabungan yang menyeluruh dan mungkin belum pernah wujud di bumi Malaysia sebagai sebuah kerjasama politik dengan nama sebesar itu.
“Namun, gagasan ini kelihatan kurang meyakinkan, terutama dari sudut hala tuju dan matlamat akhirnya,” katanya.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu merujuk kenyataan Naib Presiden Umno Johari Ghani dan Ketua Penerangan Umno Azalina Othman yang masing-masing menyatakan agenda ‘rumah bangsa’ perlu direalisasikan sebelum PRU ke-16 dan bukan kerjasama politik yang bertujuan menggugat kerajaan Madani.
Fadhli mempersoalkan jika ia bukan kerjasama politik dan tidak berkait dengan gerak kerja politik - mengapa ia perlu direalisasikan sebelum tibanya PRU ke-16.
“Dengan lebih jelas, mengapa ia perlu dikaitkan secara langsung dengan pilihan raya? Jika benar ia sekadar ‘kolaborasi’, jadikanlah ia kerjasama bagi tujuan sosial atau kemasyarakatan, seperti kenduri besar atau himpunan muafakat, tanpa sebarang matlamat politik,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Pada Perhimpunan Agung Umno minggu lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan penubuhan jawatankuasa penyatuan ‘rumah bangsa’ untuk menerima penyertaan semula bekas ahli-ahli parti dan ‘kolaborasi agung’ melibatkan kerjasama parti-parti politik Melayu-Islam di Malaysia.
Fadhli berkata, perkara itu membawa makna bahawa kemungkinan ‘rumah bangsa’ pada asasnya hanyalah proses dalaman Umno, yakni usaha pengukuhan semula parti dan penyatuan ahli.
‘Kolaborasi agung’ pula ujarnya, kelihatan sebagai idea yang berbeza, barangkali untuk menghimpunkan parti parti politik Melayu, yang kemudiannya dijenamakan sebagai ‘musyawarah nasional.’
“Namun persoalan yang masih berbaki ialah apakah hala tuju politik sebenar gagasan ini? Kita tunggu sahaja sejauh mana idea ini akan dikembangkan.
“Namun, melihat insiden apabila Datuk Seri Zahid menarik balik sebahagian ucapannya berhubung isu ‘team A dan team B dalam DAP’ selepas disanggah mentah-mentah oleh setiausaha agung DAP, timbul kegusaran tentang sejauh mana ketegasan gagasan kolaborasi agung ini mampu dipertahankan kelak,” katanya.
Dia turut mempersoalkan sejauh mana jaminan ‘kolaborasi agung’ itu direalisasikan sekiranya berdepan penolakan dan sanggahan yang sama seperti dibuat oleh pemimpin DAP susulan Zahid menarik balik dakwaan kewujudan team berbeza dalam DAP.
“Jika penegasan seorang timbalan presiden bahawa Umno kononnya tidak pernah bekerjasama dengan DAP pun boleh disanggah secara terbuka, maka ke arah mana ‘kejantanan’ rumah bangsa mahu dijulang?
“Mujur kenyataan itu belum lagi ditarik balik oleh timbalan presiden Umno. Kesimpulannya, kolaborasi agung dan rumah bangsa pada hakikatnya masih berupa idea yang belum jelas bentuk dan arah tuju.
“Namanya hebat, tetapi isinya belum meyakinkan. Di pihak kita, terus bekerja, dan kita jadikan kerajaan Madani paling lama bertahan pun hanyalah sepenggal, Insya-Allah,” kata Fadhli.
