Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Pengurusan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur menegaskan mereka sentiasa memberikan kerjasama penuh dalam proses pemindahan kuil berkenaan, sekali gus menolak dakwaan pihak kuil sengaja melengah-lengahkan usaha penempatan semula rumah ibadat Hindu itu.

Peguam mewakili jawatankuasa kuil, Latheefa Koya menyifatkan tuduhan bahawa pihak pengurusan kuil cuba mengelak daripada berpindah sebagai satu salah faham yang perlu diperbetulkan demi kepentingan semua pihak.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat penyelarasan yang dianjurkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini, yang bertujuan menyelaras langkah-langkah berkaitan pemindahan kuil tersebut.

"Tiada sebarang kelewatan di pihak pihak kuil. Mereka tidak melengah-lengahkan perkara ini. Jika wujud sebarang salah faham, saya rasa perkara itu perlu diperbetulkan.

"Pihak polis sedar sepenuhnya bahawa pemindahan sebuah kuil melibatkan banyak proses, termasuk aspek teknikal dan perkara-perkara lain yang perlu diambil kira," katanya.

Menurut Latheefa, pihak kuil selama ini komited menghadiri setiap siri mesyuarat teknikal bersama agensi kerajaan bagi memastikan semua prosedur dipatuhi dan pelaksanaan berjalan lancar.

Latheefa turut memaklumkan mesyuarat hari ini dipengerusikan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner (ACP) Sazalee Adam dan dihadiri pelbagai pihak berkepentingan.

Antara yang terlibat termasuk wakil pengurusan kuil, syarikat tekstil Jakel, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP), serta wakil beberapa kementerian.

Mengulas lanjut, Latheefa berkata keadaan menjadi agak rumit apabila pihak kuil menerima notis singkat selama tujuh hari untuk berpindah daripada Jakel pada 13 Januari lalu, sedangkan surat penyerahan milikan kosong bagi tapak baru hanya diterima pada tarikh yang sama.

"Pihak kuil menerima notis perpindahan selama tujuh hari daripada Jakel, pada hari yang sama iaitu 13 haribulan, pihak kuil turut menerima penyerahan milikan kosong bagi tapak baharu tersebut. Sebaik sahaja menerima milikan kosong itu, pada keesokan harinya iaitu 14 haribulan, pihak kuil juga menerima kebenaran untuk memulakan kerja-kerja pembinaan.

"Pada 15 haribulan pula, pihak kuil menerima surat daripada pihak polis bagi tujuan mengadakan mesyuarat penyelarasan. Oleh itu, kelihatan seolah-olah semua tarikh ini berlaku secara kebetulan dalam tempoh yang sangat singkat.

"Namun begitu, dalam mesyuarat hari ini, pihak polis selaku pengerusi mesyuarat telah mengambil maklum dan mengiktiraf sepenuhnya tapak baru tersebut.

"Kerja-kerja ini termasuk pembinaan tembok penahan oleh pihak IPD serta beberapa pemasangan papan penghadang dan perkara-perkara lain yang perlu dilaksanakan terlebih dahulu oleh pihak JKR. Selepas semua kerja awal ini diselesaikan, barulah pihak kuil dapat menentukan bila mereka boleh memulakan pembinaan mereka sendiri.

"Hanya selepas kerja-kerja pembinaan tersebut selesai, barulah perpindahan boleh dilaksanakan.

"Oleh itu, semua pihak menerima dan memahami bahawa perpindahan tersebut sememangnya tidak boleh dilakukan dalam tempoh notis tujuh hari.

"Terdapat kefahaman dan pengiktirafan sepenuhnya mengenai perkara ini oleh semua pihak," katanya.

Peguam puji inisiatif polis

Sebelum ini, Jakel memberikan tempoh tujuh hari kepada pengurusan kuil untuk memindahkan struktur sedia ada dari sebidang tanah milik syarikat tekstil itu.

Menurut satu notis bertarikh 13 Januari yang dilihat oleh Malaysiakini, syarikat berkenaan memohon kerjasama segera pihak kuil untuk mengosongkan tapak tersebut bagi membolehkan kerja-kerja pembangunan dimulakan dalam tempoh sebulan.

Sementara itu, peguam N Surendran memuji langkah proaktif yang diambil pihak polis dalam menyelaras pertemuan melibatkan semua pihak berkepentingan.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih atas inisiatif oleh pihak polis kerana telah mengumpulkan semua pihak. Ini kerana, seperti yang anda tahu, terdapat sedikit isu memandangkan notis tujuh hari telah diberikan oleh Jakel.

"Namun, pihak-pihak terlibat telah menghimpunkan semua orang dan mengadakan mesyuarat untuk memperincikan bagaimana kita akan bergerak maju selepas ini.

"Saya rasa semua pihak berpuas hati dengan cara mesyuarat tersebut dikendalikan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh mengesahkan kerajaan sedang menyelaras pelaksanaan pemindahan kuil di peringkat operasi dengan penglibatan semua agensi dan pihak berkaitan.

Menurutnya, satu lagi mesyuarat penyelarasan akan diadakan pada 19 Januari 2026 bagi memperincikan langkah seterusnya termasuk aspek pemindahan dan pembinaan.

"Kerajaan akan meneruskan perbincangan secara rapat dan berkala dengan semua pihak khususnya selepas perayaan Thaipusam bagi memastikan pelaksanaan berjalan dengan teratur dan saling menghormati.

"Pendekatan ini mencerminkan semangat pentadbiran Wilayah Persekutuan dalam mengurus perbezaan secara matang dan berhemah, saling menghormati serta kesediaan mendahulukan kepentingan bersama selaras dengan prinsip mengasihi sesama insan seperti diri sendiri," katanya pada satu kenyataan hari ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS