Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa kerajaan agar tidak mengambil langkah “berundur” dalam dasar pentaksiran pendidikan dengan mengembalikan peperiksaan yang disifatkan berisiko tinggi seperti Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, ini kerana cadangan tersebut tidak menyelesaikan masalah sebenar sistem pendidikan, sebaliknya berisiko mengulangi kesilapan dasar lampau yang dilaksanakan secara tergesa-gesa tanpa kesiapsiagaan menyeluruh.
Tegas Ahmad Fahmi, pihaknya juga berpandangan bahawa reformasi pendidikan yang sedang dilaksanakan melalui Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 dan Kurikulum Persekolahan 2027 memerlukan masa, konsistensi serta keyakinan semua pihak, bukannya perubahan arah yang dipacu tekanan jangka pendek atau persepsi awam.
“Reformasi yang sedang berjalan memerlukan masa, konsistensi dan keyakinan, bukan perubahan arah yang tergesa-gesa.
“Sehubungan itu, Abim menegaskan pendirian yang jelas menolak pendekatan peperiksaan berkepentingan tinggi yang berisiko mengembalikan budaya persekolahan berorientasikan peperiksaan, dan pada masa yang sama menyokong pentaksiran kebangsaan bersepadu sebagai sebahagian daripada Reformasi Pendidikan yang sedang dilaksanakan, berteraskan pembangunan insan, kesejahteraan murid serta aspirasi Pendidikan Madani,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada Perhimpunan Agung Umno Sabtu lalu, presiden parti itu Ahmad Zahid Hamidi membangkitkan desakan supaya Kementerian Pendidikan (KPM) mengembalikan PT3 dan UPSR.
Zahid berkata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Zambry Abd Kadir yang juga menteri pendidikan tinggi akan membawa mandat perwakilian PAU berhubung perkara itu.
Mengulas lanjut, Ahmad Fahmi berkata pengalaman lampau seperti pelaksanaan dan pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) perlu dijadikan iktibar.
“Pengalaman lampau wajar dijadikan pengajaran. Negara pernah melalui episod dasar pendidikan yang dilaksanakan secara tergesa-gesa tanpa kesiapsiagaan sistemik, seperti pelaksanaan dan pemansuhan PPSMI, yang akhirnya mengorbankan satu generasi murid, membebankan guru serta mencetuskan kekeliruan besar dalam sistem.
“Mengundur ke belakang dalam dasar pentaksiran hari ini berisiko mengulangi kesilapan yang sama, iaitu merawat kebimbangan jangka pendek dengan penyelesaian mudah tetapi merugikan masa depan,” katanya.
Jelas Ahmad Fahmi, pemansuhan UPSR dan PT3 sebelum ini juga merupakan satu keputusan dasar yang besar dan berani.
Justeru, kata Ahmad Fahmi keputusan tersebut wajar diperkemas, diperbaiki dan dimatangkan, bukan dibatalkan secara tergesa-gesa.
“Pendidikan ialah proses jangka panjang. Ketidaktentuan dasar yang berulang hanya akan melemahkan keyakinan guru, murid dan ibu bapa, serta merencatkan usaha pembinaan sistem yang stabil dan diyakini,” katanya.
Kelemahan pelaksanaan PBD
Sementara itu, Ahmad Fahmi berkata Abim turut menolak pendekatan peperiksaan berkepentingan tinggi yang menurutnya akan menghidupkan semula budaya persekolahan berorientasikan peperiksaan, persaingan tidak sihat serta penstriman awal murid.
Sebaliknya, Ahmad Fahmi berkata Abim menyokong pengukuhan pentaksiran kebangsaan bersepadu yang berteraskan pembangunan insan, kesejahteraan murid dan aspirasi Pendidikan Madani.
Dalam pada itu, mengulas ketidakpuasan hati masyarakat terhadap sistem pentaksiran semasa, Abim berpandangan isu tersebut bukan berpunca daripada ketiadaan peperiksaan awam, tetapi daripada kelemahan pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).
Katanya, anatara masalah yang dikenal pasti ialah kekeliruan pelaksanaan PBD, ketidaksamaan kebolehpercayaan antara sekolah, latihan guru yang tidak mencukupi serta kelemahan komunikasi dengan ibu bapa.

“Menghidupkan semula peperiksaan lama hanya menutup kelemahan sebenar dengan jalan pintas yang cetek,” kata Ahmad Fahmi.
Sehubungan itu, katanya Abim menggesa pemerkasaan PBD melalui pengukuhan kompetensi guru, berfasa dan berterusan, pengurangan beban dokumentasi mekanikal serta usaha sistematik untuk meningkatkan kefahaman ibu bapa terhadap sistem pentaksiran tersebut.
Ahmad Fahmi berkata Abim juga turut mencadangkan agar pentaksiran nasional diperkukuh melalui pendekatan berkepentingan rendah yang berfungsi sebagai penanda aras sistemik dan sokongan pembelajaran, bukan sebagai mekanisme penentu masa depan murid.
Selain itu, pelaksanaan Pentaksiran Diagnostik Kebangsaan yang terancang di akhir sekolah rendah dan menengah rendah dicadangkan bagi menilai literasi asas seperti bacaan, numerasi dan sains, tanpa meletakkan beban sosial dan psikologi berlebihan kepada murid.
Menurutnya, Abim menegaskan bahawa Pendidikan Madani menuntut sistem pentaksiran yang adil, berintegriti dan berteraskan karamah insaniah.
“Kembali kepada peperiksaan berkepentingan tinggi bukan langkah ke hadapan, tetapi satu langkah ke belakang,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Ahmad Fahmi menyatakan kesediaan Abim untuk bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai rakan strategik masyarakat sivil dalam memperincikan reka bentuk, pelaksanaan dan komunikasi awam sistem pentaksiran kebangsaan yang lebih matang dan konsisten.
UPSR dimansuhkan pada 2021, manakala PT3 dimansuhkan pada 2022 - kedua-duanya di bawah pentadbiran PN, meski perbincangan dan kajian awal sejak 2016 lagi di bawah pentadbiran sebelum itu. Kedua dua peperiksaan itu digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah.
Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan ketika ini sedang mengkaji keperluan pelaksanaan semula UPSR dan PT3 yang hasilnya akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
Pada 12 Jan lalu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata semua pihak diminta memberi sedikit masa kepada kementerian untuk melaksanakan kajian berkenaan, yang turut mengambil kira pandangan pemegang taruh, khususnya ibu bapa.
