Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | 'Trump World Order': Kebangkitan imperialisme moden

ULASAN | Muka depan The Guardian Weekly edisi 16 Januari 2026 bertajuk The New Age of Empire menyoroti tindakan Presiden AS, Donald Trump terhadap Venezuela sebagai simbol kebangkitan imperialisme moden.

Ia menjadi tanda bahawa dunia sedang memasuki era neoimperialisme, di mana kuasa besar kembali menormalisasi tuntutan wilayah dan tindakan unilateral.

Namun apa yang digambarkan The Guardian sebagai “era empayar baru” sebenarnya boleh difahami lebih mendalam melalui kerangka yang saya namakan Trump World Order (TWO).

TWO bukan sekadar gaya kepresidenan bahkan fenomena geopolitik yang menandakan peralihan daripada orde barat kolektif kepada orde personalistik berpusat pada ego seorang presiden.

Trump World Order atau TWO lahir daripada keyakinan bahawa survival Amerika hanya boleh dijamin melalui tindakan segera.

Trump menolak multilateralisme, tidak sabar menunggu konsensus NATO atau EU dan menganggap kelewatan sebagai sinonim dengan kelemahan.

Baginya kelemahan itu akan membawa kepada kehancuran Amerika. Oleh itu, Trump bertindak seperti seorang desperado geopolitik, penunggang sendirian di padang kuasa dunia, yang lebih rela bertindak unilateral daripada menunggu sekutu barat yang dianggap lambat dan birokratik.

MAGA sebagai jantung ideologi

Serangan ke atas Venezuela, ancaman berulang terhadap Iran, perang tarif dengan seluruh dunia dan cadangan luar biasa seperti membeli atau menguasai Greenland atau “merampas semula” Panama Canal dan ugutan serta ancaman serangan ke atas Combia, semuanya mencerminkan gaya improvisasi yang tidak terikat pada norma diplomasi dan peraturan dan undang-undang antarabangsa.

Sebelum ini Trump menggunakan Israel sebagai proksi dalam serangan 12 hari terhadap Iran, menekan dan membunuh Hassan Nasrullah Setiausaha Agung Hizbollah di Lubnan, menjatuhkan Presiden Syria, Bashar Al Asad dan terkini menganggap demonstrasi rakyat Iran sebagai leverage untuk menjustifikasi ancaman ketenteraan.

Semua ini dilakukan tanpa menunggu sekutu barat kerana bagi Trump menunggu adalah tanda kelemahan. Amerika mesti bertindak sendiri, pantas, dan tanpa kompromi.

Di sebalik semua tindakan desperado ini, ada satu jantung ideologi yang mengikatnya: MAGA atau Make America Great Again. MAGA bukan sekadar slogan nostalgia lebih mendalam lagi adalah mantra survival yang menjustifikasi setiap tindakan unilateral Trump.

Ia adalah naratif legitimasi yang membolehkan Trump bertindak sendirian kerana semua tindakan itu dikatakan demi mengembalikan kegemilangan Amerika.

Jika MAGA ialah slogan domestik, maka TWO ialah projek global yang menjelmakan MAGA di pentas antarabangsa. Dengan MAGA sebagai jantung api, Trump menjadikan dirinya bukan sekadar presiden sebaliknya simbol survival unilateral yang menolak multilateralisme dan menormalisasi improvisasi sebagai strategi geopolitik.

MAGA ialah api yang membakar tindakan segera bukan sekadar janji masa lalu tetapi dorongan untuk mengelak kehancuran kini.

Fenomena TWO boleh difahami sebagai wajah Amerika dalam era neoimperialisme.

Respons desperado

Neoimperialisme berbeza daripada neoliberalisme yang berakar pada pasaran bebas atau neokonservatisme yang menekankan militarisme ideologi. TWO berakar pada klaim wilayah, tindakan unilateral dan normalisasi ekspansionisme dan neoimperialisme bukan hanya retorik Trump.

Dua kuasa lain, Vladimir Putin dan Xi Jinping, juga mengamalkan logik sama. Putin menekankan penguasaan Crimea dan Ukraine sebagai bukti kebesaran Rusia sementara Xi menekankan klaim terhadap Taiwan dan Laut China Selatan sebagai mandat sejarah.

Dunia kini terbahagi kepada tiga blok kuasa besar yang sama-sama melihat penguasaan wilayah sebagai simbol kebesaran. TWO boleh ditafsir sebagai respons desperado terhadap kebangkitan blok alternatif ini.

TWO tidak wujud dalam vakum. Ia berdepan cabaran besar daripada dua kuasa utama: China dan Rusia. China semakin menguasai sistem perdagangan global, transaksi digital, perjalanan perdagangan maritim, insurans, dan bahkan mencabar dominasi dolar dengan mata wang alternatif.

Dengan jaringan ekonomi yang melangkaui Barat, China menjadikan dirinya pusat baharu perdagangan dunia. Rusia pula, walaupun tidak sebesar China dari segi ekonomi, menegaskan pengaruh geopolitiknya melalui tenaga, ketenteraan, dan pakatan strategik.

Ia menjadi rakan penting dalam blok BRICS, menambah tekanan terhadap dominasi Amerika. Gabungan China dan Rusia ini melahirkan bayang-bayang kuasa baharu yang semakin besar, yang tidak menunggu, tidak tunduk dan tidak bergantung pada sistem Barat.

Oleh itu TWO lahir sebagai respons desperado terhadap kebangkitan blok alternatif ini. Dengan menekan Iran, Venezuela, dan negara-negara yang cenderung ke BRICS, Trump cuba melemahkan sistem yang sedang dibina oleh China dan Rusia.

Tetapi setiap tindakan unilateralnya juga memperlihatkan ketakutan bahawa Amerika sedang kehilangan cengkaman terhadap sistem perdagangan, transaksi dan mata wang dunia.

Dalam konteks ini, pendirian Malaysia menjadi signifikan. Malaysia, sebagai sebuah negara yang berakar pada prinsip berkecuali, pluralisme dan keadilan antarabangsa, tidak memilih untuk tunduk kepada Trump World Order mahupun sepenuhnya kepada blok China-Rusia.

Drama geopolitik

Malaysia menegaskan bahawa dunia tidak boleh dijadikan pentas ego seorang pemimpin, tetapi mesti dikembalikan kepada prinsip multilateralisme yang adil dan seimbang.

Dalam hubungan ini Malaysia melihat kebangkitan China sebagai peluang untuk memperluas perdagangan dan integrasi ekonomi, tetapi pada masa sama berhati-hati agar tidak terjerat dalam dominasi kuasa baharu. Malaysia juga mengakui peranan Rusia dalam BRICS tetapi tetap menekankan bahawa keamanan serantau dan global mesti berlandaskan undang-undang antarabangsa, bukan kekerasan unilateral.

Dalam menghadapi TWO, Malaysia menegaskan bahawa survivalisme unilateral tidak boleh menjadi norma kerana ia hanya melahirkan ketidakstabilan dan krisis legitimasi global.

Oleh itu Malaysia memilih jalan yang lebih reflektif, menekankan diplomasi, kerjasama serantau dan keadilan ekonomi sebagai asas pendirian. Ia adalah suara yang mengingatkan dunia bahawa kekuatan bukanlah segala-galanya, dan bahawa legitimasi hanya lahir daripada keadilan dan konsensus.

TWO boleh dilihat sebagai sebuah drama geopolitik. Trump ialah desperado, penunggang sendirian di padang geopolitik, menolak teman seperjalanan kerana masa adalah musuh. MAGA ialah jantung api bukan sekadar janji masa lalu tetapi api yang membakar tindakan segera demi survival.

Dunia ialah pentas ego, tetapi juga pentas harapan, di mana negara-negara seperti Malaysia berusaha mengingatkan bahawa geopolitik bukan sekadar tentang kuasa, tetapi tentang legitimasi, keadilan, dan masa depan bersama.


ISMAIL HASHIM YAHAYA adalah pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa dan mantan pensyarah Universiti Selangor yang mengajar kursus perhubungan antarabangsa

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS