Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes Altantuya: Mahkamah Rayuan kurangkan ganti rugi kepada RM1.4 juta

Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan bahawa kerajaan terlepas daripada sebarang liabiliti berhubung kematian model Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada tahun 2006.

Selain itu mahkamah juga mengurangkan jumlah pampasan yang diperintahkan sebelum ini untuk dibayar kepada keluarga mangsa daripada RM5 juta kepada RM1.409 juta.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya, Hashim Hamzah, membenarkan rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2022, dan menolak rayuan yang difailkan oleh defendan ketiga, penganalisis politik, Abdul Razak Baginda, selepas mendapati hujahnya tidak berasas.

Hakim K. Muniandy yang membacakan keputusan panel hakim berkata, tiada bukti menunjukkan bekas anggota Unit Tindakan Khas, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, bertindak atas arahan kerajaan dalam pembunuhan Altantuya.

Azilah dan Sirul masing-masing ialah defendan pertama dan kedua dalam kes itu.

“Pembunuhan adalah bertentangan dengan tanggungjawab untuk melindungi nyawa dan menegakkan keamanan. Ia adalah perbuatan yang jauh dari tugas seorang anggota polis, yang memutuskan hubungan antara majikan dan pekerja,” kata Muniandy.

Panel hakim turut dianggotai hakim Azman Abdullah dan Hisham.

Rayuan Razak ditolak

Sementara itu, rayuan Razak ditolak selepas panel hakim mendapati hujahnya – bahawa dia tidak berniat mencederakan dan penglibatannya dalam pembunuhan Altantuya adalah minimum – tidak boleh diterima.

“Fakta yang tidak dipertikaikan ialah Azilah dan Sirul tiada pengetahuan awal atau hubungan dengan mangsa.

“Mereka adalah orang asing bagi mangsa. Kehadiran mereka di hotel mangsa dan penahanan mangsa di rumah Razak sepenuhnya berlaku berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Razak.

“Razak mengaku mengarahkan Azilah untuk mengendalikan mangsa. Malam kejadian, penyiasat peribadinya menahan mangsa di luar kediamannya sehingga Azilah dan Sirul tiba untuk membawanya. Tindakannya menunjukkan niat bersama untuk menghilangkan kebebasan mangsa,” kata Muniandy.

“Razak ber komunikasi secara berterusan dengan Azilah pada malam pembunuhan. Yang paling jelas, apabila mangsa hilang dan Razak kemudian membuat laporan polis, dia dengan sengaja menyembunyikan fakta penting bahawa dia telah melihat mangsa dibawa pergi oleh Azilah.

“Tingkah laku sedemikian tidak selaras dengan pihak yang tidak bersalah dan menunjukkan niat bersama untuk memastikan mangsa hilang,” kata Muniandy.

Dia menegaskan bahawa dalam undang-undang, tidak perlu membuktikan bahawa Razak menembak atau mengendalikan bahan letupan yang digunakan untuk meletupkan mayat model itu.

Dia berkata, cukup untuk membuktikan bahawa Razak bersama engan defendan lain melakukan perbuatan jenayah, atau melakukan perbuatan sah dengan cara yang jenayah, terhadap Altantuya.

Panel hakim juga mendapati bahawa hakim perbicaraan adalah tepat dalam menyimpulkan bahawa Azilah dan Sirul tiada motif sendiri untuk membunuh Altantuya.

“Tindakan mereka adalah hasil langsung daripada sokongan dan arahan Razak," katanya.

Dengan penolakan rayuannya hari ini, Razak kekal bertanggungjawab membayar pampasan yang diperintahkan kepada pihak plaintif.

Pampasan dikurangkan

Panel hakim mengurangkan jumlah pampasan awal daripada RM5 juta kepada RM1.409 juta, selepas mendapati keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam adalah berbentuk vindicatory, yang tidak termasuk dalam Seksyen 7 Akta Undang-Undang Sivil 1956 (CLA).

“Di Malaysia, tuntutan pampasan akibat kematian diurus sepenuhnya oleh Seksyen 7 CLA. Peruntukan ini direka untuk memberi pampasan bagi kerugian kewangan yang ditanggung oleh tanggungan, kehilangan sokongan, dan kos pengebumian," katanya.

“Seksyen 7 tidak membenarkan pampasan penghukuman yang bertujuan untuk menghukum pesalah atau menegakkan hak perlembagaan dalam tuntutan sivil bagi tanggungan.

“Oleh kerana jumlah RM5 juta diberikan terutamanya sebagai pampasan penghukuman (vindicatory) dan bukannya berdasarkan pengiraan kerugian tanggungan, ia tidak sah.

“Oleh itu, perintah RM5 juta dibatalkan. Pampasan yang dinilai terhad sepenuhnya kepada kerugian tanggungan, dikira berdasarkan pendapatan terbukti mangsa pada masa kematian… (dengan menggunakan kaedah pengganda) yang terhad kepada jumlah statutori yang diperuntukkan di bawah Seksyen 7(3)(a), serta kos pengebumian mengikut Seksyen 7(3)(b) CLA," ujarnya.

Panel hakim menetapkan pampasan RM384,000 bagi keluarga Altantuya kerana kehilangan nafkah, dikira daripada RM2,000 sebulan selama 16 tahun dan didarab untuk tempoh 16 tahun.

Panel hakim juga memerintahkan plaintif membayar RM10,000 pampasan statutori untuk anak-anak Altantuya dan manfaat keluarga, selaras dengan Seksyen 7(3)(a) CLA.

Pampasan berat (aggravated damages) ditetapkan sebanyak RM1 juta, yang mencerminkan sifat pembunuhan yang kejam dan barbarik.

Selain itu, panel hakim juga memutuskan pampasan khas bagi kos pengebumian sebanyak RM15,000, serta 5 peratus kos tambahan dikira dari tarikh keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 16 Disember 2022 sehingga pampasan dibayar sepenuhnya.

Mencari keadilan

Pada 16 Disember 2022, Mahkamah Tinggi mengarahkan semua defendan, termasuk kerajaan pada masa itu, untuk membayar RM5 juta pampasan kepada keluarga berhubung pembunuhan Altantuya.

Tiga plaintif – Shariibuu Setev dan Altantseseg Sanjaa (ayah dan ibu mangsa), serta abang Altantuya, Mungunshagai Bayarjargal – pada asalnya menuntut RM100 juta.

Altantuya, yang merupakan model Mongolia dibunuh pada Oktober 2006, dan mayatnya diletupkan menggunakan bahan letupan tentera.

Dalam prosiding jenayah berasingan, Azilah dan Sirul disabitkan dengan pembunuhan dan dihukum mati pada April 2009.

Bagaimanapun, Mahkamah membebaskan Razak daripada tuduhan bersubahat dalam pembunuhan itu pada Oktober 2008, tanpa dipanggil membela diri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS