Badan Kehakiman Malaysia mengumumkan penubuhan Mahkamah Tinggi Khas bagi mendengar perbicaraan kes rasuah dan rayuan daripada Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, selaras titah Yang di-Pertuan Agong XVII, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar Shah sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Kelima Belas semalam.
Dalam satu kenyataan, Badan Kehakiman berkata Sultan Ibrahim telah menitahkan terdapatnya keperluan menyediakan hakim berpengalaman untuk mendengar kes rasuah dan laluan khas disediakan di mahkamah agar perbicaraan kes rasuah dapat diselesaikan segera.
"Untuk makluman, pada masa ini terdapat 14 Mahkamah Sesyen Khas Rasuah telah ditubuhkan untuk mendengar kes-kes rasuah di seluruh Malaysia dengan matlamat untuk menyelesaikan kes-kes dalam tempoh 1 tahun dari tarikh pendaftaran.
"Bagi menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII Sultan Ibrahim, Hakim Besar Malaya setelah berunding dengan Ketua Hakim Negara bersetuju supaya Badan Kehakiman Malaysia mengambil inisiatif menubuhkan Mahkamah Tinggi Khas bagi mendengar perbicaraan kes-kes rasuah dan juga mendengar rayuan dari Mahkamah Sesyen Khas Rasuah.
"Sebagai permulaan, inisiatif ini akan dimulakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur," menurut kenyataan itu.

Semalam Sultan Ibrahim menzahirkan ketegasan dengan menitahkan supaya amalan rasuah diperangi secara besar-besaran, dengan tiada sesiapa pun boleh dilindungi daripada tindakan undang-undang.
Seri Paduka Baginda bertitah usaha membanteras rasuah tidak boleh tertumpu hanya kepada penerima rasuah, sebaliknya pemberi rasuah, ejen atau mana-mana pihak yang bersubahat turut perlu disiasat dan dikenakan tindakan tegas.
Dalam usaha memperkukuh pembanterasan rasuah, Sultan Ibrahim turut menekankan kerajaan perlu menyediakan hakim berpengalaman serta laluan khas di mahkamah supaya perbicaraan kes rasuah dapat diselesaikan dengan segera.
Baginda bertitah demikian susulan penahanan bekas Panglima Tentera Daraat pada 7 Januari berhubung projek perolehan ketenteraan, serta sitaan aset bernilai sekurang-kurangnya RM11.4 juta di kediaman di Kuala Lumpur dan Besut, Terengganu.
Setakat ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan 23 individu berhubung kes tersebut dan merekodkan keterangan 30 saksi, serta membekukan 75 akaun bank yang berkaitan dengan syarikat-syarikat yang disiasat, dengan jumlah keseluruhan RM32.5 juta.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata semua keputusan perolehan Angkatan Tentera dan polis yang berkaitan dengan rasuah ditangguhkan sementara sehingga pematuhan penuh dengan prosedur perolehan dilaksanakan.
