Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Malaysia sokong Eropah, tolak tuntutan AS ke atas Greenland

PARLIMEN l Malaysia menyatakan sokongan kepada Kesatuan Eropah (EU) susulan ancaman tarif oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap negara yang tidak menyokong tuntutannya ke atas Greenland.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberitahu Dewan Rakyat pagi ini bahawa Malaysia tidak akan bersetuju dengan mana-mana negara yang menakluk negara lain.

“Soal Greenland, kita bersetuju dengan pendirian Eropah dan juga Denmark, bahawa berunding kita setuju hak masing-masing negara berunding.

“Tetapi untuk menakluki mana-mana negara, itu tentunya sebagai negara yang bebas dan berdaulat, kita tidak mungkin bersetuju.

“Jadi, itu juga pendirian kita,” katanya ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang meminta perdana menteri menyatakan pendirian Malaysia berhubung rancangan AS untuk meluaskan wilayahnya ke pulau Artik itu, serta ancaman terhadap negara yang mempunyai hubungan perdagangan dengan Iran.

Menurut laporan berita, Presiden AS Donald Trump minggu lalu mengancam untuk mengenakan tarif terhadap negara yang tidak menyokong tuntutan AS untuk menguasai Greenland, yang merupakan wilayah separa autonomi Denmark.

Sementara itu, Anwar berkata Malaysia masih mengekalkan hubungan dengan Iran di sebalik ancaman AS untuk mengenakan tarif tambahan 25 peratus ke atas negara yang terus berdagang dengan negara Asia Barat itu.

“Soal perdagangan dengan Iran, sekarang ini hubungan kita masih kekal dengan Iran, saya pun dua kali berhubungan dengan Iran, ada menteri-menteri juga dikirim ke Iran.

“Jadi tetapi dalam hal ini semua, kita kena gunakan, saya katakan, kebijaksanaan dalam hubungan antarabangsa, jangan kita nampak umpamanya terlalu lemah, tetapi jangan kita umpamanya mengambil beberapa tindakan yang mungkin menjejaskan kepentingan negara.

“Tapi setakat hubungan dengan Iran, itu masih kita kekal, dan pertahankan hak dan kedaulatan Iran itu juga prinsip yang kita pertahankan,” katanya.

Berhubung kebimbangan yang dibangkitkan mengenai perjanjian perdagangan timbal balik (ART) Malaysia-AS, perdana menteri memberi jaminan bahawa perjanjian itu masih belum dimuktamadkan.

"...kerana ia (ART) memberi ruang untuk maklum balas dan belum ada tarikh akhir untuk ini. Jadi ia masih belum dikuatkuasakan," kata Anwar, ketika menjawab soalan oleh Tarmizi Sulaiman (Perikatan Nasional-Sik).

Menurut Anwar, Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) juga telah memberi jaminan bahawa Malaysia masih mengekalkan hak kedaulatannya untuk menentukan dasar perdagangannya, tetapi Malaysia mahu mahukan jaminan bertulis yang jelas.

Anwar berkata penguatkuasaan peruntukan dalam perjanjian itu belum berlaku, memandangkan masih terdapat ruang untuk jawapan balas serta tiada jadual tamat tempoh rundingan setakat ini.

“Umpamanya dengan USTR, jaminan dia itu adalah jaminan bertulis dalam mesyuarat yang dicatat. Tetapi kita berpendapat lebih baik jaminan itu bertulis dan dijadikan sebagai lampiran kepada perjanjian. Hal-hal itu belum dimuktamadkan,” katanya.

Perdana menteri berkata perkara itu juga akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang akan diperincikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Johari Abdul Ghani.

Dia turut menjelaskan bahawa kerajaan mengambil serius kebimbangan dibangkitkan berkaitan potensi perjanjian itu menjejaskan ruang dasar domestik termasuk subsidi, kawalan strategik sensitif serta dasar berkecuali Malaysia.

“Itu akan dijelaskan (dalam mesyuarat)...apakah apa-apa usul pembaikan atau penyesuaian atau penjelasan. Saya juga telah jelaskan...dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri sebelum ini telah jelaskan dan saya dimaklumkan oleh menteri terdapat 35 soalan akan dijelaskan,” katanya.

Anwar turut menegaskan penggubalan dasar negara berkaitan ART tidak memerlukan sebarang pindaan Perlembagaan selagi ia tidak bertentangan dengan Perlembagaan.

Mohamad Hasan

Sementara itu, Menteri Luar Negeri Mohamad Hasan menafikan tanggapan bahawa Asean gagal menangani isu serantau terutamanya apabila melibatkan pertikaian antara negara anggota.

Menurut Mohamad, Asean di bawah kepimpinan Malaysia tahun lepas telah berjaya menyelesaikan pertikaian antara Kemboja dan Thailand.

“Malaysia telah dapat menjadi sebagai pemudahcara kerana kedua-dua buah negara (berkenaan) mahu Malaysia. Bukannya semata-mata kerana Malaysia menjadi sebagai pengerusi Asean tahun lepas.

“Sekarang ini kita bukan lagi menjadi pengerusi Asean. Filipina mengambil alih sebagai pengerusi 2026. Tapi kedua-dua buah negara masih lagi mahu Malaysia sebagai pemudah cara,” katanya, sebagai menjawab soalan yang diajukan oleh Ronald Kiandee (PN-Beluran).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS