Kira-kira 200 individu terdiri daripada pesawah, petani kecil, aktivis alam sekitar dan wakil NGO berkumpul di hadapan bangunan parlimen di Kuala Lumpur bagi mendesak kerajaan membatalkan penyertaan Malaysia dalam konvensyen Upov 1991.
Perhimpunan itu bertujuan menyerahkan dua memorandum bagi menuntut pembelaan hak petani kecil yang didakwa bakal terancam sekiranya pindaan Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 diteruskan.
Jurucakap perhimpunan, Abdul Rashid Yob mendakwa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyerahkan draf pindaan akta tersebut kepada Sekretariat Upov di Geneva pada September lalu.
"Penglibatan badan asing dalam pembentukan undang-undang negara tanpa rundingan menyeluruh dengan pihak berkepentingan, termasuk kerajaan Sabah dan Sarawak, dilihat sebagai satu bentuk pencabulan terhadap kedaulatan negara.
"Pindaan ini akan membatalkan hak tradisi petani kecil untuk menukar dan menjual benih, serta mengehadkan hak menyimpan benih untuk musim pembiakan seterusnya," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum tersebut.

Kerajaan setakat ini tidak mengesahkan dan menafikan dakwaan penyerahan draf akta itu kepada Sekretariat Upov.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan penjelasan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu serta pegawainya berkaitan dakwaan dan isu ini.
Perhimpunan hari ini dianjurkan oleh Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM) dan turut disertai wakil Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan kumpulan pelajar Mandiri.
Para hadirin membawa pelbagai plakad yang tertera slogan "Angkat Hak Petani", "Mahasiswa bersama petani", "Petani bukan pemalas" dan "Tolak Upov".
Turut dipamerkan lakaran besar Mohamad yang menunjukkan isyarat jari “bagus”.
Lebih 50 pihak polis beruniform berada untuk mengawal perhimpunan yang berjalan tanpa sebarang kekecohan.
Terdahulu, memorandum turut diberikan kepada Timbalan Menteri KPKM Chan Foong Hin, Ketua Whip PN Takiyuddin dan anggota parlimen Gopeng Tan Kar Hing mewakili Jawatankuasa Pilihan Khas Pertanian dan Perdagangan Dalam Negeri (PAC Pertanian).
Kesemua pihak yang menerima memorandum berjanji akan membawa isu tersebut ke parlimen.
Monopoli bekalan benih
Sementara itu, gabungan itu mendakwa Upov 1991 hanya akan mengukuhkan monopoli syarikat besar terhadap bekalan benih, sekali gus menghapuskan amalan tradisi yang sekian lama menjadi tunjang kelangsungan hidup petani tempatan.
"Akta PNPV 2004 sedia ada sudah cukup seimbang dalam melindungi hak pembiak baka dan petani, serta menjaga kepentingan komuniti Orang Asal dan biodiversiti tempatan.
"Memadamkan seksyen berkaitan pencegahan biopirasi dan kewajipan membekal benih pada harga munasabah hanya akan meletakkan dasar benih negara di bawah pengaruh kuasa asing," katanya.
Selain isu benih, pesawah turut membangkitkan krisis kos sara hidup yang semakin menghimpit ekoran peningkatan kos input pertanian dan tekanan harga padi di pasaran.
Antara tuntutan utama mereka adalah gesaan agar kerajaan menetapkan kadar pemutuan padi maksimum pada tahap 20 peratus bagi mengelakkan kerugian di pihak pesawah.
Mereka juga menuntut kerajaan menyemak semula harga lantai padi kepada RM1,800 per tan metrik serta melakukan penambahbaikan segera terhadap sistem subsidi pertanian.
Mereka turut mengadu mengenai kelewatan pengedaran baja, kelemahan pengurusan air, dan kerenah birokrasi dalam skim takaful bencana yang menyukarkan mereka mendapat pampasan.
"Kerajaan perlu menangani isu ketirisan serta kelemahan tadbir urus dalam agensi-agensi berkaitan yang selama ini didakwa menjejaskan rantaian pengeluaran padi negara.
"Sekiranya tuntutan ini diabaikan, kedaulatan makanan negara akan terus terancam dan kebergantungan terhadap benih import akan meningkat secara mendadak," katanya lagi.
Abdul Rashid menambah bahawa Upov 1991 ialah perjanjian antarabangsa yang memberi hak perlindungan harta intelek kepada pembiak baka tumbuhan terhadap varieti tanaman baru yang mereka hasilkan.
Namun, ia menjadi kontroversi selepas dakwaan bahawa petani tidak bebas menyimpan, menukar atau menjual semula benih yang dilindungi, kecuali dibenarkan oleh undang-undang negara.
Petani skala kecil tidak setuju dengan perjanjian ini kerana ia dilihat sebagai boleh menjejaskan petani kecil dan hanya menguntungkan syarikat benih besar sahaja selain berpotensi mengancam kedaulatan makanan.
