Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengambil alih keseluruhan sistem prauniversiti, iaitu tingkatan enam dan matrikulasi bermula tahun ini.
Sehubungan itu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, langkah itu sekali gus menjadikan semua kelompok itu secara rasmi adalah pelajar pendidikan tinggi.

"Mulai tahun ini, Kementerian Pendidikan Tinggi akan mengambil alih seluruh sistem pendidikan prauniversiti iaitu tingkatan enam dan matrikulasi
"Jadi, pelajar tingkatan enam dan matrikulasi bukan lagi pelajar sekolah... mereka sudah masuk kategori pendidikan tinggi," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di Putrajaya hari ini.
Pada masa sama, Anwar berkata kerajaan turut menangani isu kontroversi tahunan berkaitan peluang kemasukan ke kursus pilihan yang sering terhad terutama dalam kalangan pelajar kaum minoriti yang mencatat keputusan cemerlang tetapi berdepan kekangan tempat.
Bagi memastikan keadilan peluang, perdana menteri berkata kerajaan telah meminta universiti menambah 1,500 tempat baharu dalam kursus popular.

Dia berkata selepas rundingan lanjut, universiti terbabit bersetuju menambah tempat baharu merangkumi bidang undang-undang, perakaunan, kewangan dan perbankan, kewangan Islam, kecerdasan buatan, ekonomi, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, komunikasi, pengajian media, sains data, analitik data serta sains komputer.
Selain itu, bagi mengurangkan kebimbangan dalam kalangan pelajar, Anwar berkata kerajaan memberi keutamaan kepada pelajar asasi dan matrikulasi seperti lazimnya namun jaminan sama turut diberikan kepada pelajar tingkatan enam yang menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) berprestasi tinggi.

"Kita juga telah beri jaminan supaya pelajar-pelajar tingkatan enam STPM diberi juga keutamaan untuk mendapatkan tempat di universiti... ini bagi Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0.
"Kalau 4.0, sedaya upaya universiti akan beri tempat walaupun kadang-kadang pilihan kursus itu tertakluk kepada keupayaan universiti," katanya lagi.
