Paling Popular
Terkini
story images
story images

Bermula tahun depan, pendidikan prasekolah akan bermula pada usia lima tahun, sementara tahun satu pula bermula pada usia enam tahun.

Namun  Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menjelaskan perubahan masih belum diwajibkan kepada ibu bapa, bagi memberi ruang kepada pelbagai pihak bersedia kepada persekitaran baru pendidikan, khususnya warga pendidik.

Bagi persekolahan tahun satu itu, Anwar, berkata ibu bapa diberikan pilihan sama ada memulakannya semasa anak mereka berusia enam tahun - andai sudah bersedia - atau kekal seperti sekarang (berusia tujuh tahun).

“Dulu masuk sekolah layak pada umur tujuh tahun tetapi sekarang, adik-adik kita pada usia lima tahun pun sudah menunjukkan kematangan yang berbeza selari dengan perubahan masa dan tuntutan zaman.

“Sebab itu mulai 2027, kita perkenalkan pilihan kemasukan lebih awal tanpa mewajibkannya kerana mungkin masih ada ibu bapa yang merasakan anak mereka belum bersedia,” katanya pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di Putrajaya, hari ini.

Namun menurut perdana menteri, kelayakan masuk tahun satu pada usia tujuh tahun tetap dikekalkan tetapi kerajaan menggalakkannya kepada ibu bapa yang bersedia berbuat demikian.

“Untuk tahun 2027 kita belum bersedia mewajibkan kerana mungkin ada ibu bapa yang rasa anak-anaknya belum bersedia.

“Kita masih tetapkan boleh masuk darjah satu ketika tujuh tahun, tetapi kita galakkan ibu bapa yang bersedia dari sekarang (agar) boleh masukkan anak-anak berusia lima tahun ke prasekolah, dan seluruh sistem presekolah kita minta Kementerian Pendidikan Malaysia selaraskan,” katanya.

Pengumuman tersebut merupakan satu perubahan daripada sistem yang sekian lama diamalkan di negara ini.

Sebelum ini seorang kanak-kanak lazimnya masuk darjah satu pada usia tujuh tahun.

Pada masa sama, Anwar berkata kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi tujuan menaik taraf bilik guru di seluruh negara selepas mengambil maklum bahawa lebih 30 peratus daripadanya berada dalam keadaan tidak selesa dan tidak selamat.

Menurutnya, keadaan persekitaran kerja guru turut diberi perhatian kerana memberi kesan langsung kepada kesejahteraan dan motivasi warga pendidik dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

Dia turut menegaskan komitmen Kerajaan Madani untuk terus memperkukuh ekosistem pendidikan negara secara menyeluruh merangkumi aspek kurikulum, penilaian, prasarana dan kebajikan guru demi melahirkan generasi berilmu serta berdaya saing.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS